Belanjawan 2027 Dijangka Teruskan Langkah Penjimatan

Belanjawan 2027 Dijangka Teruskan Langkah Penjimatan

Belanjawan 2027 dijangka meneruskan pendekatan penjimatan susulan tekanan ekonomi global dan kesan rantaian konflik di rantau Teluk yang turut memberi dampak kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan melibatkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran menyebabkan situasi ekonomi dunia semakin mencabar termasuk kepada Malaysia.

“Serangan ini (ke atas Iran) menyebabkan masalah ekonomi (dan) kita juga terjejas. Jadi jangan ambil sikap sambil lewa atau remeh.

“Bila saya mahu buat keputusan, umpamanya baru-baru ini, memang kita minta kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Rayulah bagaimanapun mesti ada pengurangan belanjawan kerana mustahil tidak boleh berlaku penjimatan dalam (keseluruhan peruntukan bernilai) RM20 bilion. Banyak bidang boleh dijimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta timbalannya, Wong Kah Woh.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan agenda pendidikan termasuk kemudahan asas di sekolah dan universiti bagaimanapun akan terus diberi perhatian tanpa gangguan.

“Kerana itu kita minta semua kementerian meliputi menteri, ketua setiausaha dan ketua penolong pengarah supaya cuba fahami isu ini.

“Semua pihak tidak boleh berfikiran silo. Perpaduan, budaya, sukan, sains dan teknologi semuanya penting, tetapi dalam semua (pihak) perlu ada kebijaksanaan serta kefahaman tentang ekonomi mikro.

“Ini maknanya tidak dilihat hanya dari segi satu sudut, lihat keseluruhannya. Semua terkesan dan memerlukan peruntukan tambahan tetapi dalam keadaan sekarang, semua pihak harus waras dan bijak,” ujarnya.


Scroll to Top