SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai, terutama peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan berisiko.
Menurutnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat, sekali gus boleh mendatangkan risiko kesihatan sekiranya aktiviti fizikal diteruskan.
“Pendirian kerajaan negeri adalah jelas, keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.
“Sambutan HSN bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sambutan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober itu akan dijadualkan semula pada tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur diminta mengambil maklum mengenai penangguhan berkenaan dan membuat penyelarasan sewajarnya.
Najwan turut meminta orang ramai merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tarikh baharu penganjuran program itu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan jerebu dan mengambil kira nasihat pihak berkuasa berkaitan sebelum menentukan langkah selanjutnya.
Beliau menegaskan, penangguhan itu tidak bermakna komitmen kerajaan negeri terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya langkah bertanggungjawab bagi memastikan setiap program dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan masyarakat kepada risiko kesihatan.



