
Son Heung-min kecewa selepas rembatan jarak dekatnya pada minit ke-37 tersasar, meskipun berjaya melakukan larian bertenaga ke dalam kawasan lawan. Foto: Agensi
KAPTEN Korea Selatan, Son Heung-min berdepan kritikan hebat daripada sebahagian penyokong negaranya selepas mempamerkan aksi kurang meyakinkan ketika kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026.
Penyerang berusia 34 tahun itu bergelut untuk memberi impak sepanjang perlawanan dan gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang sebelum dikeluarkan pada minit ke-69 bagi memberi laluan kepada Oh Hyeon-gyu.
Korea Selatan akhirnya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata pertama menerusi jaringan Hwang In-beom dan Hyeon-gyu, namun persembahan Heung-min tetap menjadi bahan perdebatan dalam kalangan peminat.
Pada penghujung perlawanan, kamera televisyen beberapa kali merakam Heung-min yang berdiri di tepi padang sambil memerhatikan rakan sepasukannya mempertahankan kelebihan tipis.
Rakaman itu kemudian tular di media sosial dan forum bola sepak Korea Selatan.
Sebahagian penyokong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap persembahannya, dengan ada yang berpendapat tempat pemain itu dalam kesebelasan utama perlu dinilai semula.
Malah, terdapat penyokong yang menggesa Hyeon-gyu diberikan peranan lebih besar selepas penyerang gantian itu muncul wira kemenangan Korea Selatan.
Gelombang kritikan berkenaan mencerminkan tekanan besar yang terus dipikul Heung-min sebagai pemain paling berprofil tinggi dalam skuad Taegeuk Warriors sejak hampir sedekad lalu.
Sebagai kapten dan tonggak utama pasukan, harapan tinggi sentiasa diletakkan di bahunya setiap kali Korea Selatan beraksi di pentas utama antarabangsa.
Bagaimanapun, tidak semua penyokong bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan. Ramai turut tampil mempertahankan Heung-min dengan mengingatkan sumbangan besarnya kepada bola sepak Korea Selatan sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan.
Mereka berpendapat satu persembahan kurang menjadi tidak seharusnya menenggelamkan jasa serta pengorbanan yang diberikan pemain berkenaan selama ini.
Kemenangan ke atas Republik Czech meletakkan Korea Selatan di tangga kedua Kumpulan A, berkongsi tiga mata dengan Mexico yang mendahului berdasarkan perbezaan gol.
Namun bagi Son, tumpuan kini terarah kepada aksi berikutnya ketika Korea Selatan berdepan cabaran lebih getir dalam usaha memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.



