Hisyam Hamid jarakkan diri daripada penerbit wanita, elak salah faham

Hisyam Hamid jarakkan diri daripada penerbit wanita, elak salah faham

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enggan membiarkan spekulasi terus melarat, pelakon, Hisyam Hamid, 41, nekad mengambil pendekatan untuk menjarakkan diri dengan seorang penerbit wanita yang sebelum ini dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengannya.

Hisyam atau pemilik nama Hazmi Hisyam Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama bagi mengelakkan timbulnya salah faham atau dakwaan tidak berasas daripada orang ramai.

“Sebenarnya kami sudah lama berkawan. Anak-anak saya pun mengenali dia sama seperti mereka kenal rakan-rakan saya yang lain. Kami selesa bersahabat dan tiada apa yang berbeza pun dalam persahabatan kami.

“Apabila khabar angin (bercinta) mula diperkatakan, kami memilih untuk menjarakkan diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Black Ops, baru-baru ini.

Pelakon drama Kerana Aku Isteri Bidaan itu turut berkata, fokus utamanya kini adalah untuk menjaga kesejahteraan dan perasaan anak-anaknya yang semakin membesar.

“Bukan sekali dua saya didakwa bercinta. Sejujurnya, saya kurang selesa dengan gosip sebegini. Mungkin orang lain boleh terima, tapi saya tidak.

“Sebab itu saya pilih untuk tak terlalu rapat dengan mana-mana wanita buat masa ini. Mereka (anak-anak) semakin membesar dan saya rasa tak seronok bila mereka baca gosip seperti ini. Saya kena jaga perasaan mereka,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hisyam bakal muncul menerusi filem aksi terbaharu arahan Syafiq Yusof berjudul Black Ops.

Selain Hisyam, filem itu turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh dan Elizabeth Tan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top