Guadalajara: Pengendali Korea Selatan, Hong Myung-bo menyifatkan insiden dron yang dikesan ketika sesi latihan tertutup pasukannya sebagai sesuatu yang ‘malang’ menjelang aksi penting Kumpulan A Piala Dunia menentang tuan rumah bersama, Mexico.
Pasukan keselamatan Mexico memaklumkan kepada Reuters bahawa dron terbabit dipintas di kawasan latihan pada Selasa kerana tidak didaftarkan secara rasmi.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada operasi keselamatan besar-besaran yang dilaksanakan di bandar-bandar tuan rumah Piala Dunia, membabitkan ribuan anggota keselamatan serta penggunaan teknologi canggih.
Langkah keselamatan dipertingkatkan ketika pihak berkuasa berusaha menangani isu keselamatan di negeri Jalisco yang berdepan ancaman kumpulan jenayah ganas berkaitan aktiviti pengedaran dadah dan jenayah lain.
Walaupun gangguan itu berlaku ketika skuad Korea Selatan sedang bersiap untuk menjalani latihan taktikal penting, Myung-bo menegaskan persiapan pasukannya tidak terjejas secara serius.
“Ia tidak memberi impak besar kepada kami, tetapi ketika kami sedang membuat persiapan untuk perlawanan, itulah waktu paling penting, jadi apa yang berlaku memang sesuatu yang malang,” kata Myung-bo di sidang media.
Korea Selatan mahu meneruskan momentum selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan kumpulan.
Insiden dron itu menambah ketegangan menjelang perlawanan berprofil tinggi di Stadium Guadalajara esok, dengan Mexico dijangka mendapat sokongan padu penyokong sendiri.
Myung-bo percaya pemainnya mempunyai pengalaman mencukupi untuk berdepan suasana penuh tekanan di gelanggang lawan.
“Pemain saya sudah pernah melalui perlawanan seperti ini sebelum ini, jadi keadaannya akan berbeza esok.
“Kami perlu mengawal rentak dan aliran permainan, kemudian memilih masa yang tepat untuk bertindak,” katanya.
Kemenangan ke atas Mexico akan mengukuhkan kedudukan Korea Selatan di puncak Kumpulan A serta menggandakan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




