DAMSYIK: Pesawat tidak dikenal pasti pada Selasa menyerang sebuah lapangan terbang tentera yang tidak lagi beroperasi di barat laut Syria, yang kini menempatkan anggota daripada kementerian pertahanan negara itu, kata sumber keselamatan kepada AFP.
“Awal pagi Selasa, pesawat tidak dikenal pasti mengebom lapangan terbang tentera Abu Duhur di wilayah Idlib,” kata sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.
Kemudahan tersebut tidak lagi beroperasi sejak 2012 dan kini dikawal oleh pasukan kementerian pertahanan Syria, kata sumber berkenaan, tanpa melaporkan sebarang kematian atau kecederaan buat masa ini.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas lapangan terbang itu, yang mengalami kerosakan teruk sepanjang perang saudara Syria.
Tentera Israel tidak memberi komen ketika AFP meminta ulasan mengenai serangan tersebut.
Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas Syria sejak penggulingan pemerintah lama, Bashar al-Assad pada Disember 2024 oleh kumpulan bersenjata Islamis yang dianggap Israel sebagai kumpulan jihad.
Gabungan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi menentang kumpulan Daesh (IS) sebelum ini turut melancarkan serangan terhadap tokoh kanan kumpulan jihad di barat laut Syria.
Syria kini merupakan sebahagian daripada gabungan tersebut.
Selepas mengambil alih kuasa, pihak berkuasa baharu di Damsyik menguasai lapangan terbang Abu Duhur, yang sebelum itu berada di bawah kawalan pasukan Assad sejak akhir 2018, selepas kumpulan bersenjata pemberontak dan jihad merampas sebahagian besar wilayah Idlib tiga tahun sebelumnya. – AFP

