17 April 2026 11:37am
Masa membaca: 4 minit

Tentera Lubnan melaporkan Israel melanggar gencatan senjata dengan membedil beberapa kampung di selatan Lubnan pada Jumaat. Foto fail Agensi
ISTANBUL – Israel melanggar gencatan senjata dengan membedil beberapa kampung di selatan Lubnan pada Jumaat, menurut laporan tentera Lubnan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, tentera Lubnan berkata, pihaknya merekodkan beberapa serangan Israel sejak gencatan senjata berkenaan mula dikuat kuasa pada tengah malam waktu tempatan.
Tentera Lubnan menggesa penduduk agar menangguhkan kepulangan ke kawasan selatan negara itu kerana pencabulan yang masih berlaku mengancam keselamatan orang awam.
Ia turut meminta orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan unit tentera yang ditempatkan di selatan, khususnya pada waktu malam dan menjauhi kawasan berbahaya.
Beberapa jam sebelum itu, pihak tentera turut mengeluarkan amaran sama dengan menasihati penduduk supaya tidak kembali ke kawasan selatan sehingga gencatan senjata mula dikuat kuasa.
Tentera Lubnan juga memberi amaran mengenai bahaya bahan letupan aktif yang tidak meletup serta objek mencurigakan yang ditinggalkan dan menggesa penduduk melaporkannya kepada pos tentera berhampiran.
Gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel mula dikuat kuasa pada tengah malam Jumaat waktu tempatan.
Pada petang Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan gencatan senjata itu selepas apa yang disifatkannya sebagai “perbualan yang sangat baik” dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.- Bernama-Anadolu



