Israel tak setuju pelan Gaza tajaan AS – Netanyahu

Israel tak setuju pelan Gaza tajaan AS – Netanyahu

Baitulmaqdis: Israel tidak bersetuju dengan rancangan Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, walaupun selepas menerima jaminan bahawa pengunduran Israel hanya akan berlaku selepas Hamas melucutkan senjata.

Sementara itu, pergerakan Islam Palestin mengulangi komitmennya terhadap pelan tindakan yang diterbitkan oleh Lembaga Keamanan Presiden AS Donald Trump minggu lalu, yang merangkumi peruntukan untuk kumpulan itu menyerahkan senjatanya dan pengunduran Israel.

Dalam video yang disiarkan ke akaun media sosialnya pada malam Selasa, Netanyahu berkata, pasukan Trump “percaya bahawa mereka boleh membawa pelucutan senjata Hamas dan demiliterisasi Gaza”.

“Kami sedang menyemak ini. Mereka menghantar draf kepada kami – kami tidak bersetuju dengannya, ia bukan draf kami. Kami menghantar komen kami,” katanya.

Ketua tentera Israel pada Rabu berkata, pasukan negara itu akan terus “beroperasi secara proaktif” di wilayah Palestin, berikrar untuk “terus mengejar mereka yang bertanggungjawab” atas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.

“Di Semenanjung Gaza, kami menyerang Hamas, melemahkannya dengan ketara, dan mengubah realiti keselamatan secara asasnya,” kata Leftenan Jeneral Eyal Zamir semasa melawat tentera di Gaza, menurut satu kenyataan tentera.

“IDF (Angkatan Pertahanan Israel) akan terus beroperasi secara proaktif dan mengikut prinsip yang kami tetapkan – untuk menghapuskan ancaman dan, dalam setiap situasi, melindungi komuniti dan penduduk mereka serta menjaga keselamatan mereka.”

Selepas Israel menyuarakan bantahan terhadap pelan tindakan awal, Lembaga Keamanan bertemu Netanyahu pada Isnin, memberi jaminan kepadanya bahawa tentera Israel hanya dikehendaki meninggalkan kedudukannya sekarang di Gaza selepas perlucutan senjata “sepenuhnya” Hamas.

Tetapi tekanan semakin meningkat terhadap perdana menteri dari sayap kanan gabungan pemerintahnya, dengan dua menteri sayap kanan meminta undi baharu untuk menolak rancangan itu, dengan mengatakan ia tidak mencerminkan apa yang diluluskan oleh Kabinet.

Dengan Israel dan Netanyahu kelihatan semakin terasing di pentas dunia, negara itu mempunyai sedikit peluang untuk membatalkan rancangan tajaan AS itu, menurut Tal Elovits, seorang penyelidik di badan pemikir Israel, Molad.

“Netanyahu tidak mempunyai pilihan lain selain mendengar satu-satunya rakannya yang tinggal dalam komuniti diplomatik,” katanya, merujuk kepada Trump.

Berucap di satu acara pada Rabu, Netanyahu, yang menghadapi pertarungan pemilihan semula yang sukar pada bulan Oktober berkata, Trump “adalah rakan terbaik kami, salah seorang rakan terbaik yang kami ada di Rumah Putih.”

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem pada hari Rabu mengulangi “komitmen kumpulan itu terhadap apa yang dipersetujui dengan pengantara dan Lembaga Keamanan”.

Kumpulan itu menyeru Washington dan Nickolay Mladenov, wakil tinggi Lembaga Keamanan untuk Gaza, untuk menekan Israel “untuk mematuhi perjanjian itu, supaya kita dapat melihat langkah-langkah serius dan praktikal diambil”.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top