Jalaluddin nafi kecewa tidak dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

Jalaluddin nafi kecewa tidak dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar, sebaliknya menegaskan kejayaan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Negeri Sembilan adalah matlamat utama perjuangannya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, pihaknya sentiasa berlapang dada kerana fokusnya sejak awal adalah memastikan BN kembali menerajui pentadbiran negeri.

“Saya gembira hasrat perjuangan untuk memberi kemenangan kepada BN dan memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya.

“Mandat besar sudah diberikan kepada BN. Yang patut diraikan ialah kemenangan BN. Tubuh badan saya tak sakit sebab tak jadi Menteri Besar. Kenapa orang lain pula yang sakit?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai Menteri Besar.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin menegaskan bahawa beliau tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain.

“Pelantikan jawatan EXCO itu adalah hak prerogatif Menteri Besar dan beliau berhak tentukan barisan yang dimahukan.

“Saya juga tidak akan tawarkan diri menjadi EXCO kerana saya sudah menjadi Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang,” katanya.

Beliau berkata, selaku pimpinan utama UMNO Negeri Sembilan, pihaknya sudah berusaha mengetengahkan calon-calon terbaik, muda dan berkaliber daripada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurutnya, mereka seharusnya diberikan peluang untuk menduduki jawatan EXCO.

“Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa. Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan ketiadaannya pada istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar baharu semalam kerana menerima notis daripada pihak protokol pada jam 4.50 pagi dan tidak sempat hadir di Istana Besar Seri Menanti.

Tambahan pula katanya, beliau mempunyai program yang sudah disusun lebih awal di kawasannya.

Jalaluddin antara tiga nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadap baginda di Istana Hinggap Negeri Sembilan, di sini, pada malam keputusan PRN.

Dua lagi calon lain ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin dan ADUN Johol, Datuk Saiful Yasan Sulaiman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top