Jerat cinta 'Mat Nigeria' tumpas

Jerat cinta 'Mat Nigeria' tumpas

Bangkok: Polis Thailand menahan enam warga Nigeria ketika serbuan di sebuah kondominium mewah di Nonthaburi, Jumaat lalu, selepas mengesyaki mereka terbabit dalam sindiket ‘love scam’ yang menyasarkan wanita berusia di negara itu.

The Nation melaporkan, operasi diberi nama kod Dark Room Crackdown itu dijalankan di sebuah kondominium tepi sungai berhampiran Jambatan Phra Nang Klao di Bang Kraso, daerah Muang.

Polis menggeledah tiga bilik dengan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi. Mereka kemudiannya menahan enam suspek berusia antara 23 dan 35 tahun.

Lima daripada suspek didapati menggunakan visa untuk tinggal lebih masa iaitu antara 695 hingga 1,560 hari, manakala pemeriksaan terhadap suspek keenam turut dijalankan sebagai sebahagian daripada kes itu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 18 telefon bimbit, tiga komputer riba dan tiga buku bank.

Penyiasat berkata, peranti itu mengandungi perbualan romantik penipuan, skrip penipuan dan imej profil yang dijana kecerdasan buatan (AI).

Serbuan itu susulan siasatan terhadap rangkaian jenayah asing yang didakwa ada kaitan dengan transaksi kewangan luar biasa.

Menurut polis, kumpulan itu tinggal bersama-sama di kondominium itu walaupun mempunyai visa pelajar, tanpa bukti jelas sama ada mereka menghadiri kelas atau mempunyai pekerjaan tetap.

Penyiasat berkata, suspek didakwa menggunakan akaun palsu lelaki asing dengan menyamar sebagai juruterbang, tentera, peguam, jurutera dan doktor, untuk mendekati mangsa melalui Messenger, Facebook (Fb), WeChat, TikTok (TT), Line dan Zalo.

Polis berkata, kebanyakan mangsa adalah wanita warga Thailand yang lebih berusia.

Keenam-enam suspek ditahan bersama bahan bukti yang dirampas, sebelum dibawa ke Balai Polis Rattanathibet untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top