aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengakui kegagalan mengubah corak permainan menjadi punca mereka tewas pada aksi final Masters Malaysia di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu terpaksa akur tewas straight set 16-21, 17-21 kepada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam aksi final yang berlangsung selama 42 minit.
Menurut Izzuddin, pasangan Denmark tampil cukup baik dan berjaya memberi tekanan berterusan sejak awal permainan hingga tamat perlawanan.
“Saya rasa lawan bermain sangat bagus hari ini. Mereka memang beri tekanan dari awal permainan sampai habis,” katanya.
Izzuddin turut mengakui lawan berjaya membaca corak permainan mereka hingga menyebabkan pasangan negara agak lambat melakukan perubahan taktikal.
“Saya rasa mereka memang sudah baca permainan kami jadi kami lambat tukar,” katanya.
Sementara itu Sze Fei berkata, percubaan mereka untuk mengubah rentak permainan lebih pantas dan flat tidak menjadi seperti dirancang.
Menurutnya, aspek servis dan penerimaan servis menjadi antara kelemahan utama yang perlu diperbaiki selepas ini.
Mengulas persiapan menghadapi Terbuka Singapura minggu depan, Izzuddin berkata fokus utama mereka ketika ini adalah proses pemulihan memandangkan jadual kejohanan yang padat.
“Yang paling penting sekarang proses pemulihan sebab kami tak banyak masa. Jadi fokus kepada mental dan fizikal,” katanya.
Dalam masa sama, Izzuddin menegaskan mereka tidak terlalu memikirkan soal ranking dunia menjelang pembukaan kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.
“Kami lebih fokus kepada prestasi dan memenangi gelaran. Bila dapat keputusan bagus, ranking akan naik secara automatik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




