MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama pada pilihan raya itu.
Beliau berkata, pendirian berkenaan dibuat kerana lebih mengutamakan prinsip perjuangan berbanding jawatan sebagai wakil rakyat.
“Kata UMNO bermuka-muka. Kata UMNO tikam kawan tapi UMNO juga yang dicari.
“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast KS iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding sebab lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa PH terbuka untuk membincangkan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Mementik laporan itu, Saifuddin berkata, perkara itu mungkin dibincangkan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pulang ke tanah air pada Rabu.
Dalam pada itu, Akmal menyatakan keyakinannya BN mampu kekal dominasi Melaka tanpa kerjasama PH.
“Insya-ALLAH Melaka kita birukan seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
