KADA mohon peruntukkan tambahan RM1 juta hadapi Super El Nino

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memohon peruntukan tambahan RM1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai persediaan menghadapi fenomena Super El Nino.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, peruntukan tambahan itu membabitkan kos untuk pembelian pam mudah alih bagi membekalkan bekalan air di kawasan yang bermasalah.

Katanya, secara amnya sumber dari air Sungai Kelantan dijangka mencukupi namun dari segi kemampuan untuk memanfaatkan bekalan berkenaan memerlukan bajet tambahan.

“Kita mengambil maklum berhubung amaran berkenaan dan kita sudah membuat permohonan bagi mendapatkan bajet tambahan sebanyak RM1 juta.

“Peruntukan bajet tambahan itu termasuk untuk pembelian pam mudah alih. Permohonan baru sahaja dibuat dan sekiranya ja diluluskan, ia mampu menangani sedikit sebanyak cuaca panas dan gelombang haba lebih ekstrem,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 & Jasamu Dikenang 2026 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, orang ramai diminta berwaspada terhadap risiko cuaca panas dan gelombang haba lebih ekstrem tahun ini susulan fenomena Super El Nino yang semakin kuat.

Sementara itu, Khalid berkata, 17 peratus membabitkan 5,000 hektar keluasan tanaman padi pada musim kedua tahun lalu mencapai hasil padi lebih lima tan metrik  semusim bagi setiap hektar.

Katanya, pada masa yang sama sebanyak 41 peratus mencapai empat hingga 4.9 tan metrik , manakala 40 peratus dibawah empat tan metrik. – UTUSAN

 

Scroll to Top