Komitmen pemain angkat ragbi 7s negara

Komitmen pemain angkat ragbi 7s negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad ragbi lelaki tujuh sebelah (7s) tampil lebih menyakinkan untuk muncul juara Kejohanan Ragbi Tujuh Asia Tenggara (SEA 7s) di Singapura, semalam sekali gus menebus kekecewaan di Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu.

Menurut Ketua jurulatih 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, beliau menyatakan meskipun persiapan agak singkat untuk kejohanan ini tetapi itu tidak mengganggu anak didiknya memberi persembahan cemerlang dalam setiap perlawanan yang dilalui.

Lebih manis, skuad ragbi 7s negara berjaya membalas dendam menewaskan juara Sukan Sea 2025, Thailand keputusan 10-5 di pentas final dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kallang.

“Alhamdulillah, kita berjaya menjuarai kejohanan kali ini dan kredit harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan, walaupun tempoh persiapan yang dijalankan tidak begitu panjang.

“Komitmen yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan mereka berjaya mempamerkan potensi sebenar pasukan Bunga Raya Tujuh sepanjang kejohanan ini,” kata Safuan.

Pada pertandingan itu, Malaysia berjaya meraih kemenangan ke atas Kemboja 66-0, Brunei 57-7 termasuk mengalahkan tuan rumah yang juga pemenang pingat perak sukan dwi tahunan itu, Singapura 38-0 pada peringkat kumpulan.

Pada edisi Sukan Sea di Thailand, persembahan skuad negara kurang baik apabila meraih tempat keempat dan keputusan itu menyaksikan Malaysia tidak berjaya membawa balik pingat buat kali pertama sejak ragbi 7s diperkenalkan pada edisi 2015.

Sementara itu, skuad ragbi wanita negara turut melakar keputusan positif apabila muncul naib juara selepas tewas 0-41 kepada Thailand pada perlawanan akhir yang mengulangi aksi final Sukan Sea.

Pasukan wanita negara sebelum itu turut tewas kepada Thailand 55-0 pada peringkat kumpulan, namun bangkit mencatat kemenangan ke atas Singapura 26-19 dan Laos 26-14.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top