MCOTY lancar Annual Car Buyers' Guide 2026 sebagai rujukan automotif

MCOTY lancar Annual Car Buyers' Guide 2026 sebagai rujukan automotif

lizamridzuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Malaysia Car of the Year (MCOTY) iaitu anugerah automotif tahunan yang menilai kenderaan terbaik di pasaran tempatan berdasarkan penilaian pakar industri, melakar satu lagi pencapaian apabila melancarkan Annual Car Buyers’ Guide 2026 sebagai rujukan komprehensif kepada pengguna automotif tempatan.

Panduan pembeli edisi terkini itu tampil dalam format lebih eksklusif sebagai buku meja kopi sekali gus memperkukuh peranannya sebagai sumber utama membantu pengguna membuat keputusan pembelian kenderaan.

MCOTY yang diasaskan pada 2002 oleh Yamin Vong bersama barisan wartawan automotif berpengalaman, sejak sekian lama menjadi penanda aras dalam menilai kenderaan terbaik di pasaran Malaysia.

Selepas melalui tempoh rehat selama dua tahun bermula 2020, program penilaian itu kembali diteruskan pada 2023 dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) yang turut menyokong pembangunan industri mobiliti negara.

Perubahan pendekatan dalam dua tahun kebelakangan ini menyaksikan MCOTY tidak lagi bergantung kepada pengumuman konvensional semata-mata, sebaliknya memperkenalkan penerbitan panduan pembeli sebagai nilai tambah kepada industri.

Edisi 2026 meneruskan tradisi itu dengan menghimpunkan pelbagai maklumat penting termasuk penilaian pakar, spesifikasi kenderaan serta analisis pasaran yang relevan untuk pengguna.

Model Zeekr 009 sekali lagi menjadi tumpuan apabila diumumkan sebagai pemenang utama, mencerminkan dominasi kenderaan elektrik dalam landskap automotif semasa.

Kenderaan elektrik (EV) dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan.

Kemenangan model seperti Zeekr 009 memperlihatkan peralihan industri ke arah mobiliti lebih lestari dan berteknologi tinggi.

Walaupun diterbitkan dalam bentuk premium, panduan ini kekal mengekalkan prinsip asal MCOTY sebagai sumber terbuka kepada orang ramai.

Versi digital Annual Car Buyers’ Guide 2026 akan disediakan secara percuma untuk dimuat turun, memastikan akses maklumat automotif yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top