Ringgit meningkat berbanding dolar AS dipacu anggaran awal KDNK kukuh

Ringgit meningkat berbanding dolar AS dipacu anggaran awal KDNK kukuh

RINGGIT mengakhiri urus niaga dengan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong oleh sentimen positif susulan pengumuman anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 (S1 2026), kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 3.9505/9545 berbanding dolar AS daripada 3.9520/9560 pada penutup semalam.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada S1 2026 berdasarkan anggaran awal, mencerminkan asas ekonomi yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, unjuran KDNK yang lebih mengukuh daripada jangkaan awal berbanding anggaran 5.1 peratus dibuat oleh Bloomberg, hanya menguatkan lagi daya tahan pertumbuhan Malaysia di rantau ini meskipun dalam cabaran geopolitik yang meruncing.

“Walaupun dolar AS lebih kukuh susulan ketegangan di Asia Barat mengekang kenaikan, kestabilan mata wang ini mencerminkan keyakinan yang kian ketara terhadap ketahanan permintaan domestik dan memacu pertumbuhan struktur.

“Ini menjadikan ringgit kekal dalam angka konstruktif jangka pendek dan bukannya satu aliran penyusutan ketara,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, guna tenaga penuh, permintaan domestik berterusan dan prestasi sektor luaran yang menggalakkan sepanjang Januari dan Februari lepas, telah membantu ekonomi mengekalkan pertumbuhan KDNK yang baik.

Pada penutup hari ini, ringgit turut diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3454/3508 daripada 5.3506/3560 semalam, naik berbanding yen Jepun kepada 2.4838/4865 daripada 2.4848/4874 namun susut berbanding euro kepada 4.6588/6635 daripada 4.6551/6598 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan lebih mengukuh.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1086 daripada 3.1069/1103 semalam, mengukuh berbanding Indonesia kepada 229.8/230.1 daripada 230.5/230.9.

Ringgit juga naik berbanding baht Thailand kepada 12.3084/3274 daripada 12.3473/3664 serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.59 daripada 6.59/6.60. – Bernama 

Scroll to Top