Amaran kecemasan kini boleh dihantar terus ke telefon bimbit dalam tempoh kurang seminit menerusi MySiren, sistem amaran awal negara yang dilancarkan hari ini.
Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen bagi memperkukuh penyampaian maklumat kecemasan kepada orang ramai.
Baca juga: Air deras mengalir dari cerun di Taman Seri Rambai, penduduk trauma tragedi Oktober berulang
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran dihantar terus kepada telefon bimbit yang serasi tanpa memerlukan pengguna memasang aplikasi atau membuat pendaftaran.
“Teknologi ini membolehkan amaran disasarkan kepada kawasan tertentu berdasarkan lokasi dan keperluan situasi kecemasan, sekali gus melengkapi saluran amaran sedia ada,” menurut kenyataan MCMC hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, penghantaran amaran menerusi teknologi berkenaan mengambil masa kurang daripada satu minit berbanding SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih.
Sempena pelancaran itu, MCMC turut melaksanakan simulasi MySiren di pekarangan Bangunan Parlimen bagi menguji keupayaan sistem menghantar mesej berserta bunyi amaran kepada telefon bimbit dalam kawasan yang ditetapkan.
Simulasi berkenaan menyusuli ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya pada 19 November lalu.
“Seterusnya, ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCMC menyarankan orang ramai supaya memastikan sistem operasi telefon bimbit masing-masing dikemas kini bagi membolehkan penerimaan amaran kecemasan.
Bagi pengguna iPhone 11 dan model lebih baharu, versi minimum yang diperlukan ialah iOS 27.2, manakala telefon Android memerlukan Android 12 atau lebih terkini dan Huawei pula EMUI 16 atau lebih terkini.
Pengguna juga perlu mengaktifkan tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) pada peranti masing-masing.
Bagaimanapun, penerimaan amaran tertakluk kepada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G.
MCMC turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan kesiapsiagaan MySiren sebelum pelaksanaannya diperluaskan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my/mysiren.