Pemergian tragis pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, malah turut menyentuh hati Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Faham perasaan sebagai seorang bapa
Menerusi hantaran di media sosial, Onn Hafiz menyatakan beliau berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham termasuk bapa, datuk dan neneknya hari ini, selain menzahirkan rasa sayu melihat keperitan yang sedang ditanggung keluarga berkenaan.
“Sebagai seorang bapa, saya turut tersentuh dengan apa yang berlaku. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita menuntut ilmu, membesar dan mengejar cita-cita.
“Kejadian seperti ini sudah tentu memberi kesan bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah tetapi juga kepada warga sekolah dan masyarakat keseluruhannya,” tulisnya.
Kerajaan negeri beri ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa
Mengulas perkembangan kes, Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Negeri Johor tidak akan mendahului proses undang-undang dan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Dalam pada masa yang sama, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kesejahteraan pelajar di sekolah.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk melihat apa lagi yang boleh diperbaiki dan diperkukuhkan, khususnya dalam aspek keselamatan serta kesejahteraan anak-anak kita di sekolah,” jelasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menghormati perasaan keluarga yang sedang berduka dan tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Saya juga menyeru semua pihak supaya menjaga sensitiviti keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan.
“Di sebalik setiap berita yang kita baca dan kongsi, ada sebuah keluarga yang sedang melalui saat yang amat sukar,” luah beliau sambil menzahirkan salam takziah serta mendoakan ketabahan buat seluruh keluarga Allahyarham.

Sumber: Facebook Onn Hafiz




