KUANTAN: Kerajaan Pahang digesa mengkaji semula syarat tender bekalan dan penghantaran baja oleh syarikat perladangan milik kerajaan negeri bagi memberi peluang lebih luas kepada syarikat tempatan, khususnya vendor anak negeri.
Gesaan itu dibuat susulan syarat tender oleh LKPP Corporation Sdn. Bhd. pada tahun ini yang mewajibkan pemohon memiliki kelulusan atau lesen pengilang daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sumber industri mendakwa, ekoran syarat baharu itu, lebih 15 kontraktor baja tempatan berlesen Pahang yang ada antaranya sudah lebih 30 tahun beroperasi dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) sahaja tidak layak mohon tender sekali gus mengalami kerugian dianggarkan antara RM100,000 ke RM200,000.
Dakwanya, langkah itu perubahan mendadak yang belum pernah berlaku sejak penubuhan LKPP Corporation dan umum sedia maklum antara syarat bagi memohon lesen pengilang di bawah MITI adalah modal berbayar melebihi RM2.5 juta atau 60 pekerja sepenuh masa.
“Syarat lesen pengilang MITI sewajarnya dijadikan kriteria pilihan atau dikecualikan bagi syarikat tempatan yang berdaftar sah dengan MOF mengikut kod bidang baja dan racun.
“Jika syarat itu diteruskan pada tahun depan, ia hanya memberi kelebihan kepada pembekal atau pengilang berskala besar dari luar Pahang. Sedangkan negeri ini mempunyai pertubuhan peladang kawasan (PPK) dan koperasi yang berkeupayaan melaksanakan kerja pembekalan serta penghantaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, syarat berkenaan bukan sahaja dilihat tidak selari dengan usaha memperkasa usahawan anak negeri, malah berisiko menyebabkan peruntukan kerajaan negeri mengalir kepada syarikat luar.
Beliau berkata, pendekatan lebih terbuka perlu dilaksanakan supaya dapat dicontohi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri lain termasuk dalam sektor pembinaan, perlombongan, hartanah dan pemprosesan.
“Langkah ini penting bagi memastikan agenda memperkasa vendor dan syarikat tempatan anak Pahang dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus mengelakkan monopoli syarikat luar yang memiliki lesen korporat besar.
“Ia juga selaras titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menekankan pembelaan terhadap ekonomi anak negeri serta memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dalam peluang perniagaan,” katanya.
Sumber itu berkata, pembukaan syarat tender yang lebih inklusif dalam pelbagai sektor mampu membina ekosistem perniagaan tempatan yang lebih sihat.
Katanya, langkah tersebut juga dapat membuka ruang kepada modal insan dan kepakaran anak negeri berkembang seiring pembangunan ekonomi Pahang.
Beliau menegaskan, syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan dan memenuhi syarat pendaftaran sewajarnya diberi peluang bersaing secara adil, terutama dalam projek yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri. – UTUSAN




