Pandan kini Parlimen angkat PM Anwar, Tengku Zafrul pegawai pemantau – Amirudin

Pandan kini Parlimen angkat PM Anwar, Tengku Zafrul  pegawai pemantau – Amirudin

Kawasan Pandan kini secara rasmi menjadi ‘Parlimen angkat’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pengumuman dibuat pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat dalam usaha memperkukuh gerak kerja parti di kawasan berkenaan.

Naib Presiden PKR, Amirudin Shari berkata, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan.

Menurut beliau, pengurusan dan pemantauan di kawasan Ampang serta Pandan akan terus diperkasa bagi memastikan kelancaran pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan gerak kerja parti berjalan lancar.

“Kita mempunyai pengasas yang sangat cekal dan teguh semangatnya dengan inspirasi besar terhadap masa depan negara serta idealisme untuk membangunkan negeri dan negara.
“Semangat reformasi yang dibawa pula bukan sekadar slogan atau kata-kata tetapi diterjemahkan melalui keazaman untuk melakukan perubahan demi kebaikan negara dan negeri secara bersama,” katanya ketika berucap pada Himpunan Setia Keadilan Pandan, semalam.

Dalam masa sama, Amirudin menegaskan PKR kekal stabil meskipun berdepan cabaran dalaman susulan beberapa perkembangan mutakhir melibatkan kepimpinan parti.

Katanya, struktur organisasi parti masih utuh dan mampu memastikan gerak kerja di semua peringkat diteruskan seperti biasa.

“Kita mempunyai kepimpinan serta struktur organisasi yang jelas dan akan terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan cabaran dalaman.
“Pada masa sama, pengurusan di Ampang dan Pandan akan terus dipantau bagi memastikan gerak kerja di peringkat cabang dapat dilaksanakan dengan baik, tersusun dan lancar,” katanya lagi.

Artikel lain: Tergempar! Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR, kosongkan kerusi Parlimen esok

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kehadirannya di Pandan adalah bagi melaksanakan amanah yang diberikan selain berharap kepimpinan dan akar umbi PKR terus memperkukuh kerjasama demi kestabilan parti.

“Ukuran kejayaan seorang pemimpin sebenarnya terletak pada keadilan dalam melaksanakan tugas, mengawal diri daripada rasa ego dan mempunyai sifat belas kasihan terhadap rakyat tanpa memilih latar belakang kaum, agama dan juga warna kulit.
“Justeru, kepimpinan ialah mengutamakan keadilan dan hak sama rata kepada rakyat,”ujar beliau.

Terdahulu, pada 17 Mei lalu, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 18 Mei sebelum keluar daripada PKR sehari selepas itu.

Scroll to Top