Pekerja India latih robot AI ambil alih pekerjaan manusia

Pekerja India latih robot AI ambil alih pekerjaan manusia

DENGAN sebuah telefon pintar dilekatkan di kepalanya, seorang suri rumah India, Nagireddy Sriramyachandra merakam dirinya menghiris mangga untuk melatih robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi melaksanakan kerja-kerja rumah pada masa hadapan.

Dengan pendapatan sedikit melebihi dua dolar bagi setiap jam, rakaman video harian yang kelihatan biasa itu sebenarnya amat berharga bagi syarikat teknologi global dalam mengajar mesin bergerak seperti manusia di dunia sebenar.

Wanita berusia 25 tahun itu merupakan antara ribuan tenaga kerja yang semakin bertambah sebagai pelatih sistem AI di negara paling ramai penduduk di dunia itu.

“Siapa lagi yang akan membayar 250 rupee sejam hanya untuk kerja rumah?

“Saya mungkin akan memiliki robot sendiri pada masa hadapan,” katanya dari dapurnya di Chennai, negeri Tamil Nadu, selatan India.

Chatbot kecerdasan buatan dan penjana imej memproses sejumlah besar data digital, namun membangunkan sistem yang mampu berfungsi dalam persekitaran sebenar adalah lebih mencabar.

Pembangun percaya bahawa dengan memasukkan rakaman dari sudut pandangan pertama yang dikenali sebagai data egosentrik ke dalam model AI khusus, robot dapat meniru manusia.

Sesetengah pelatih AI bekerja dari rumah manakala yang lain di kilang atau studio khas menggunakan cermin mata video, kamera dipasang di kepala serta penderia pergerakan.

“Ia akan berbunyi ‘tangan tidak dikesan’ jika saya tidak merakam dengan betul,” kata Sriramyachandra yang menghantar rakaman melalui aplikasi khas kepada syarikat data AI, Objectways.

Syarikat itu yang mempunyai pejabat di India dan Amerika Syarikat (AS), menyenaraikan syarikat multinasional Fortune 500 sebagai pelanggan serta bekerjasama dengan Amazon SageMaker, sebuah platform model pembelajaran mesin.

Perkara yang lebih baik

Pasaran robot humanoid kini sedang berkembang pesat dengan bank pelaburan Morgan Stanley meramalkan lebih satu bilion robot akan digunakan menjelang 2050, kebanyakannya untuk tujuan industri dan komersial.

“Melipat pakaian, membuat kopi…memasak sesuatu yang sangat spesifik, menyediakan sandwich,” kata ketua Objectways, Ravi Shankar sambil menyenaraikan jenis video diminta pelanggan.

Seorang pekerja memakai kamera GoPro di kepalanya sambil merakam pergerakan melalui tangkapan gerakan ketika melipat tuala di dalam bilik mandi model di pejabat syarikat data AI, Objectways di daerah Karur, Tamil Nadu.

Seorang pekerja memakai kamera GoPro di kepalanya sambil merakam pergerakan melalui tangkapan gerakan ketika melipat tuala di dalam bilik mandi model di pejabat syarikat data AI, Objectways di daerah Karur, Tamil Nadu.

“Ada pekerjaan yang memang dijangka akan diambil alih supaya manusia boleh melakukan perkara lebih bernilai.”

Di India, bidang baru AI spatial sedang mewujudkan peluang pekerjaan baharu sekurang-kurangnya buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif berusia 50 tahun itu berpangkalan di AS tetapi mengambil pekerja dari Tamil Nadu, tempat beliau dibesarkan yang juga merupakan salah satu hab teknologi antarabangsa India.

Di sebuah kilang tekstil di Karur yang sibuk dengan pekerja melekatkan label pada topi dan menggosok beg kain, wartawan AFP melihat lapan orang memakai kamera kepala serta cermin mata pintar dibekalkan oleh Objectways.

India telah memposisikan dirinya sebagai perantara global dalam penciptaan, pemprosesan dan pelabelan data AI.

“Perkhidmatan pengumpulan data ini berkemungkinan akan terus meningkat,” kata pakar buruh digital, Aditi Surie dari Institut Penempatan Manusia India di Bengaluru.

Pekerja sektor tidak formal

India sedang giat membangunkan industri AI, namun pemimpinnya sedar bahawa di sebalik manfaat besar teknologi ini, automasi juga membawa risiko.

Badan pemikir kerajaan, NITI Aayog menyatakan bahawa kebanyakan perbincangan tentang AI dan tenaga kerja tertumpu kepada profesional kolar putih selain meramalkan kehilangan pekerjaan yang hampir pasti dalam segmen tersebut jika tiada tindakan segera diambil.

“Sedikit perhatian diberikan kepada bagaimana AI boleh membantu 490 juta pekerja sektor tidak formal di India iaitu tulang belakang ekonomi negara,” menurut laporan itu yang dikeluarkan menjelang sidang kemuncak AI global di India tahun ini.

Badan itu turut mengkaji bagaimana teknologi ini boleh membantu atau memberi kesan negatif kepada pelbagai pekerjaan daripada tukang kasut hingga pencuci pembetung, petani hingga penjual teh.

Sejak sedekad lalu, Ponni, 55 tahun, duduk di tepi jalan di Bengaluru iaitu bandar yang dikenali sebagai Lembah Silikon India untuk membuat kalungan bunga.

Dia juga pernah dibayar untuk memakai telefon di dahinya.

“Generasi akan datang… yang mungkin perlu melakukan kerja seperti saya, mereka akan menghadapi masalah,” kata Ponni.

Sentiasa memakai kamera

Di studio Objectways, pelatih sistem AI merakam diri mereka melakukan kerja rumah di ruang apartmen tiruan yang lengkap dengan perabot.

Selepas ribuan jam rakaman, kertas dinding ditukar bagi memberikan variasi kepada pelanggan.

“Hari ini saya duduk di sini, esok saya berdiri di sana,” kata graduan kejuruteraan, Rani N, 21 tahun, ketika berehat daripada merakam dirinya melipat tuala berulang kali.

Setiap video berdurasi kira-kira empat minit dan dia merakam sekitar 90 video sehari di hampir setiap posisi yang boleh dibayangkan di atas katil.

Menurutnya, kerja itu boleh diterima tetapi terasa seolah-olah sentiasa memakai kamera.

Di bilik lain, rakan sekerjanya menyusun pengasah pensel, botol air dan krayon dalam corak tertentu sambil merakam menggunakan kamera penderia kedalaman.

Qanat Consulting Services di Andhra Pradesh, subkontraktor Objectways membekalkan rakaman kepada kira-kira sedozen firma data yang lebih besar.

Sebahagian daripada 2,000 penyumbangnya melakukan tugasan dengan gelang penderia pergerakan pada pergelangan tangan, tangan dan kaki, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thaslim Pattan.

Manish Agarwal dari Humyn Labs yang berpangkalan di Bengaluru (tiada kaitan dengan Objectways) turut merakam perbualan selain video.

Penyumbang berbincang mengenai topik ditetapkan daripada politik hingga hiburan untuk pelanggan yang ingin memproses corak pertuturan.

Agarwal menafikan bahawa robot akan merampas pekerjaan, sebaliknya percaya bahawa manusia dan robot akan bekerjasama suatu hari nanti.

“Seorang tukang kimpal di India mungkin mengurus robot kimpal di Prague,” katanya. – AFP

Scroll to Top