LATEST
Business

IHH Healthcare lancar ambulans kecemasan percuma menerusi talian 15551

IHH Healthcare lancar ambulans kecemasan percuma menerusi talian 15551

IHH Healthcare Malaysia memperkenalkan perkhidmatan ambulans kecemasan percuma menerusi talian khas 15551 bagi menghubungkan orang ramai kepada enam hospital di bawah rangkaiannya di Lembah Klang.Pelaksanaan inisiatif itu membolehkan pesakit mendapatkan bantuan kecemasan dan perkhidmatan pengangkutan ke hospital terlibat menerusi rangkaian ambulans berpusat yang dikendalikan oleh IHH Ambulance Command Centre.Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, penyelarasan itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan kecemasan tanpa perlu memahami prosedur perkhidmatan ambulans setiap hospital ketika berdepan situasi kritikal.”Kami mahu memudahkan urusan dengan menggabungkan enam hospital di Lembah Klang di bawah satu rangkaian ambulans yang boleh dihubungi menerusi satu nombor iaitu 15551,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perkhidmatan ambulans IHH Healthcare Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Isnin.Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Taib; Ketua Perkhidmatan Kecemasan Kementerian Kesihatan, Dr Ridzuan Mohd Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah dan Naib Presiden Perkhidmatan Klinikal IHH Healthcare Malaysia, Dr Shuba Srinivasan; serta Ketua Perkhidmatan Kecemasan IHH Healthcare Malaysia, Dr Jeewadas Baladas.Sementara itu, Hanifah berkata, inisiatif berkenaan menyediakan akses tambahan kepada penduduk di Lembah Klang selain melengkapi perkhidmatan kecemasan sedia ada yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Menurutnya, pesakit yang dibawa ke hospital IHH boleh menerima rawatan awal sebelum dipindahkan ke fasiliti KKM mengikut keperluan, selain mengambil kira kemudahan perlindungan insurans dan program kerjasama antara sektor awam dan swasta.”Keutamaan penjagaan kesihatan negara memerlukan penyelarasan yang lebih baik serta kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta.”Inisiatif seperti ini dapat membantu kita menggunakan sumber sedia ada dengan lebih berkesan serta memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya dalam tempoh yang diperlukan,” katanya.Dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut, Dr Kamal berkata, orang ramai kini boleh menghubungi talian 15551 sebagai alternatif kepada talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans kecemasan di sekitar Lembah Klang.Menurutnya, setiap panggilan akan dinilai oleh pasukan pusat kawalan sebelum ambulans terdekat yang mempunyai keupayaan klinikal bersesuaian dihantar ke lokasi pesakit.”Perkhidmatan ambulans ini adalah percuma. Kami akan membawa pesakit ke hospital kami untuk distabilkan dan diberikan rawatan awal.”Bergantung kepada keadaan pesakit serta perlindungan insurans yang dimiliki, kami akan menentukan sama ada pesakit dirawat di hospital kami atau dipindahkan ke hospital kerajaan,” katanya.Beliau berkata, pemanggil turut akan menerima pautan penjejakan menerusi aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan mereka mengetahui lokasi ambulans serta anggaran masa ketibaan.Enam hospital yang terlibat dalam rangkaian itu ialah Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Ampang, Pantai Hospital Cheras, Pantai Hospital Klang dan Prince Court Medical Centre.Perkhidmatan itu dilaksanakan di Lembah Klang sebagai fasa pertama sebelum IHH mempertimbangkan peluasan rangkaian ke kawasan lain pada masa depan.

More in Business

View all

Latest news