am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kematian seorang pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, Negeri Sembilah sini mendapat perhatian dan desakan supaya siasatan menyeluruh serta tindakan tegas diambil berhubung dakwaan ia berkait dengan mangsa buli.
Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Threads, menyampaikan ucapan takziah mendalam kepada keluarga Allahyarham sambil menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan teliti tanpa kompromi.
“Pihak berkuasa perlu menyiasat kes ini secara telus dan terperinci berhubung dakwaan mangsa dibuli demi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat Allahyarham dan keluarganya,” tegas beliau.
Senada dengan desakan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut meluahkan rasa dukacita dan menyifatkan isu buli di premis pendidikan sebagai perkara yang tidak boleh dikompromi.
Beliau menggesa pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan pantas serta tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat.
Terdahulu tular di media sosial, seorang pelajar Tingkatan Dua SMK Za’ba, Kuala Pilah, dilaporkan meninggal dunia semalam, dengan ahli keluarganya mendakwa mangsa dipukul ketika berada di asrama sekolah.
Perkara itu dikongsikan seorang wanita yang mendakwa ibu saudara mangsa menerusi beberapa hantaran di Threads sejak malam tadi.
Menurut wanita berkenaan, dia dimaklumkan mengenai kematian anak saudaranya selepas menerima panggilan daripada adiknya yang juga ibu mangsa.
Dalam hantaran susulan, wanita itu mendakwa jenazah mangsa pada awalnya berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Seremban untuk bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




