Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi sekiranya siasatan terhadap kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, Perak, menemukan unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata beliau memandang serius kejadian itu dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan berjalan secara menyeluruh dan telus.
Baca juga: Helah guna nama rakyat Thailand, pengarah syarikat China masuk penjara
Beliau turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan sepanjang siasatan dijalankan.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan,” katanya menerusi Facebook.
Fadhlina memaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian disahkan berfungsi dengan baik. Rakaman kamera berkenaan telah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.
Menurutnya, perbincangan turut diadakan dengan pihak berkaitan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh telah ke lokasi bagi menyelaras tindakan segera.

Beberapa pentadbir dan guru sekolah itu turut diberi pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan. Fadhlina juga mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah berkenaan untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan prosedur keselamatan.
“Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terbabit dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat ini,” ujarnya.
Fadhlina turut menzahirkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan dan memaklumkan bantuan psikososial telah diberikan kepada mereka yang terkesan.
Terdahulu, JPN Perak mengesahkan pelajar itu ditemui maut di sekolah berkenaan. Jenazahnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek