am@hmetro.com.my
Tawau: Pelatih Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tidak sempat menamatkan minggu terakhir latihan praktikal selepas maut dalam kemalangan membabitkan motosikal ditungganginya dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tawau-Bombalai, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Mazlan Tuwo, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya bertembung dengan Mitsubishi Triton dipandu wanita tempatan berusia 32 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Merotai ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau bagi menjalani latihan praktikal.
Beliau berkata, pemandu pikap jenis Mitsubishi Triton yang juga seorang penjawat awam pula sedang dalam perjalanan dari Sungai Imam menuju Klinik Kesihatan Felda Umas.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, pikap terbabit terbabas ke bahu jalan sebelum memasuki parit dan terbalik dengan bahagian bawah kenderaan menghadap ke atas, manakala mangsa bersama motosikal tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Mitsubishi Triton mengalami patah bahu dan tangan kanan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima menerusi kenyataan memaklumkan Allahyarham sedang dalam minggu terakhir menjalani latihan praktikal di pejabat berkenaan ketika kemalangan berlaku.
Menurutnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pelajar praktikal yang rajin, berdedikasi dan sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap setiap tugasan diamanahkan, selain disenangi pegawai serta rakan sepejabat sepanjang menjalani latihan praktikal.
Katanya, seluruh pegawai serta warga kerja PPD Tawau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Mazlan Tuwo dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




