mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bercadang menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau aktiviti penguatkuasaan dan kutipan cukai di pelabuhan strategik negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, cadangan itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua agensi turut berkongsi dan bertukar pandangan mengenai cabaran dalam pelaksanaan tugas khususnya aspek urusan pemeriksaan kastam serta cabaran kerenah birokrasi termasuk pelbagai isu domestik JKDM.
Pertemuan strategik yang berlangsung selama satu jam itu menjadi platform perkongsian dua hala mengenai peranan dan fungsi JKDM.
Ia termasuk membincangkan mekanisme untuk membanteras ketirisan pengurusan kontena yang di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.
Sementara itu, Amran berkata, JKDM turut mendedahkan taktik sindiket yang mengelakkan daripada pembayaran cukai termasuk kes penyeludupan dan pemalsuan maklumat atau dokumen di bawah kelulusan berbeza.
Beliau berkata, selain itu JKDM turut mengesan modus operandi pengisytiharan palsu wang tunai yang mana jumlah yang dibawa masuk diisytiharkan pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sebenar.
Dalam pada itu, JKDM turut mengalu-alukan pembabitan SPRM dalam pembudayaan integriti menerusi ceramah antirasuah kepada warga JKDM.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datul Mohd Hafaz Nazar dan Ketua Cawangan Integriti JKDM, Azian Umar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




