Pemansuhan AUKU peluang lahirkan generasi pemimpin baharu – Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Parti politik yang gagal mendapatkan sokongan generasi muda berdepan risiko kemerosotan dan akhirnya hanya ‘hidup segan mati tak mahu’.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, golongan muda perlu diberi ruang lebih luas untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam proses demokrasi, termasuk ketika berada di institusi pengajian tinggi.

Katanya, keputusan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memansuhkan AUKU menunjukkan keperluan memberikan ruang lebih besar kepada generasi muda untuk terlibat dalam wacana serta aktiviti demokrasi.

“Antara sebab AUKU hendak dimansuhkan adalah sebab politik kerana Anwar menyedari sokongan generasi muda, khususnya pengundi berusia 18 hingga 25 tahun terhadap PKR, amat rendah.

“Alasan lain ialah mungkin Anwar yang rajin membaca buku sejarah menyedari sebuah parti politik yang tidak mendapat sokongan orang muda akan merosot dan akhirnya parti itu hidup segan mati tak mahu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anwar ketika berucap dalam Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka berkata, kerajaan akan memansuhkan akta berkenaan bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

Dalam pada itu, Hassan berkata, Anwar juga memahami peranan golongan muda dalam membangunkan PKR pada peringkat awal era reformasi, ketika ramai anak muda berada di barisan hadapan memperjuangkan idea dan aspirasi gerakan berkenaan.

Jelasnya, golongan muda ketika itu memainkan peranan penting dalam menyebarkan perjuangan Reformasi sehingga PKR berkembang dan mempunyai struktur parti di seluruh negara.

“Anwar yang dalam tempoh 10 tahun pertama era Reformasi lebih banyak berada di dalam penjara, menyedari golongan mudalah, lelaki dan wanita, yang telah membangunkan Parti Keadilan.

“Mereka gigih mengibarkan idea dan panji-panji perjuangan reformasi sehingga Parti Keadilan tersebar ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, sejarah juga menunjukkan bahawa golongan muda sering menjadi pencetus kepada perubahan politik dan sosial, termasuk Gerakan 4 Mei di China, Sumpah Pemuda di Indonesia serta Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam di Tanah Melayu.

Sehubungan itu, Hassan menegaskan pemansuhan AUKU wajar disokong kerana ia berpotensi membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk membina keberanian, pemikiran kritis dan kepimpinan sebelum mereka memasuki dunia politik serta masyarakat.

“Dalam konteks inilah keputusan Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR untuk memansuhkan AUKU perlu diberi sokongan, terutama daripada kalangan generasi muda,” katanya.

 

Scroll to Top