
Pesawat United Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles berikutan gangguan seorang penumpang yang cuba membuka pintu pesawat pada ketinggian hampir 11,000 meter.
WASHINGTON – Sebuah pesawat United Airlines terpaksa dilencongkan ke Washington selepas seorang penumpang didakwa cuba membuka pintu ketika berada pada ketinggian hampir 11,000 meter, lapor NBC News.
Kejadian melibatkan Penerbangan 1551 yang membawa 145 penumpang bersama enam kru kabin dan dalam perjalanan ke Bandar Guatemala selepas berlepas dari Newark, New Jersey pada jam 7 malam waktu tempatan, baru-baru ini.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles sekitar pukul 8.30 malam waktu tempatan ekoran gangguan tersebut.
“Pesawat mendarat dengan selamat dan disambut pihak penguat kuasa bagi menangani tingkah laku penumpang yang dianggap tidak terkawal,” kata United Airlines.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden cemas terbabit.
Kata FAA, mana-mana penumpang yang melanggar peraturan keselamatan penerbangan boleh dikenakan denda sehingga AS$43,658 (RM173,230). – Agensi



