Perancis perlu sekat Sepanyol kuasai bola

Perancis perlu sekat Sepanyol kuasai bola

Dallas: Perancis tidak akan membiarkan Sepanyol mendominasi penguasaan bola dengan mudah pada aksi separuh akhir Piala Dunia awal pagi esok, kata jurulatih Didier Deschamps, sambil mengesahkan pemain tengah Aurelien Tchouameni kembali memperkukuh benteng tengah Les Bleus.

Sepanyol mara ke kelompok empat terbaik hasil keupayaan mereka menguasai bola, menekan lawan jauh di kawasan sendiri serta mengawal rentak permainan.

Walaupun Perancis memiliki kepantasan untuk menghukum lawan menerusi serangan balas, Deschamps menegaskan pasukannya bukan sekadar mahu bertahan dan menunggu peluang.

“Sepanyol mampu memberikan tekanan yang tinggi, tetapi kami juga sebuah pasukan yang memerlukan penguasaan bola. Akan ada perebutan untuk mengawal permainan,” katanya kepada pemberita.

Pemain tengah Warren Zaire-Emery pula percaya Perancis mempunyai pelbagai kekuatan untuk menyesuaikan diri mengikut situasi perlawanan.

“Sepanyol memiliki kualiti hebat ketika menguasai bola. Kami pula mampu melakukan serangan balas pantas, menguasai bola dan juga bertahan dengan baik.

“Corak permainan akan menentukan apa yang berlaku. Saya tidak boleh meramalkan bagaimana perlawanan akan berlangsung,” katanya.

Harapan Perancis untuk mengimbangi kekuatan Sepanyol di bahagian tengah meningkat dengan kepulangan Tchouameni yang kali terakhir beraksi ketika kemenangan 3-0 ke atas Sweden pada pusingan 32 terbaik, 30 Jun lalu.

Pemain tengah Real Madrid berusia 26 tahun itu terlepas aksi menentang Paraguay dan Maghribi akibat kecederaan hamstring.

Deschamps berkata, Tchouameni masih belum pulih sepenuhnya tetapi sudah bersedia untuk dipilih selepas diketepikan daripada aksi sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga.

“Untuk perlawanan lalu, risikonya terlalu tinggi. Keadaannya kini lebih baik walaupun kami tidak boleh mengatakan dia sudah pulih 100 peratus.

“Perlawanan terakhirnya adalah dua minggu lalu, tetapi itu bukan masalah besar. Yang penting dia kini tersedia,” katanya.

Kehadiran Tchouameni dijangka memberikan Perancis pemain tengah bertahan semula jadi yang mampu melindungi benteng pertahanan, memenangi perebutan fizikal dan membantu pasukan keluar daripada tekanan tinggi Sepanyol.

Bagaimanapun, Deschamps juga boleh mengekalkan gandingan Manu Kone dan Adrien Rabiot di bahagian tengah selepas mereka membantu Perancis menewaskan Maghribi, manakala Zaire-Emery turut menjadi pilihan.

Bek kanan Jules Kounde turut mengakui Perancis perlu menguasai bola untuk mengganggu corak permainan Sepanyol dan mengelakkan lawan mengawal perlawanan dalam tempoh yang panjang.

Deschamps percaya pengalaman Perancis di pentas kejohanan utama akan membantu pasukannya menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi, namun enggan menjadikan dua kekalahan terdahulu kepada Sepanyol sebagai rujukan.

Sepanyol menyingkirkan Perancis pada separuh akhir Euro 2024 sebelum sekali lagi menewaskan mereka pada separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025.

“Tiada pengajaran khusus daripada perlawanan itu. Ketika itu pemainnya berbeza dan tahap prestasi mereka juga tidak sama seperti sekarang.

“Sepanyol memenangi kedua-dua perlawanan itu, tahniah kepada mereka. Tetapi apa yang penting bagi saya ialah perlawanan esok,” katanya.

Menurut Deschamps, kemampuan menyesuaikan diri menjadi kunci kepada konsistensi Perancis yang kini memburu penampilan ketiga berturut-turut di pentas final Piala Dunia.

“Sebagai jurulatih, perkataan paling penting ialah penyesuaian. Bola sepak bukan satu sains yang tepat, tetapi persiapan dan perancangan sentiasa penting hingga ke perkara paling kecil,” katanya.

Perancis akan terus bergantung kepada sentuhan penyerang sensasi Kylian Mbappe yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan, meskipun masih dibelenggu kecederaan ringan di buku lali.

Namun, aksi separuh akhir itu dijangka banyak ditentukan oleh kemampuan jentera tengah Perancis menghalang Sepanyol menguasai bola di samping memastikan bekalan hantaran berkualiti sampai kepada jentera serangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top