lokman.khairi@hmetro.com.my
Gerik: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) terus memperkasa pendidikan masyarakat di daerah Hulu Perak melalui projek naik taraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al Ittifaq, Taman Sri Temenggor di sini.
Guru Besar SAR Al Ittifaq, Azlina Ahmad berkata, bangunan asal sekolah itu mula beroperasi pada November 1997.
Katanya, permohonan menaik taraf sekolah dibuat sekitar 2020 berikutan keadaan bangunan lama yang semakin uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan murid sebelum diluluskan pada 2023.
“Sebelum ini kami hanya mempunyai sebuah bangunan setingkat dengan enam bilik darjah, satu bilik guru dan hanya satu tandas yang dikongsi guru serta murid.
“Selepas dinaik taraf, bangunan baharu mempunyai dua tingkat dengan 12 bilik darjah selain mempunyai bilik mesyuarat, pejabat, pusat sumber dan kantin yang sebelum ini tidak ada,” katanya.
Katanya, sepanjang kerja pembinaan dijalankan, operasi sekolah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Taman Sri Temenggor selama kira-kira dua tahun sehingga bangunan baharu siap pada Mac 2025 sebelum mula digunakan pada Jun tahun sama.
Beliau berkata, ketika beroperasi di dewan berkenaan pihak sekolah terpaksa mengehadkan pengambilan murid kerana kekangan ruang menyebabkan jumlah murid hanya sekitar 130 orang.
“Alhamdulillah selepas berpindah ke bangunan baharu, jumlah murid meningkat kepada 207 orang dan dijangka terus bertambah tahun depan.
“Kemudahan yang lebih selesa membolehkan guru mengajar dengan lebih baik selain menyediakan kawasan parkir untuk guru serta ruang murid meletakkan basikal dalam kawasan sekolah yang berpagar dan lebih selamat,” katanya.
Azlina berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan PKNPk atas keprihatinan menyalurkan peruntukan pembinaan sekolah baharu itu yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
Katanya, pembinaan sekolah berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dan bantuan kewangan kerajaan negeri serta PKNPk, sekali gus membuktikan agenda memperkasa pendidikan Islam sentiasa menjadi keutamaan.
“Penduduk di taman-taman sekitar kini lebih mudah menghantar anak ke sekolah agama yang berhampiran dan kami amat bersyukur dengan kemudahan yang disediakan.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan PKNPk atas keprihatinan membangunkan pendidikan rakyat sebagai asas pembentukan masyarakat berilmu, berdaya tahan dan berakhlak selaras pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Sementara itu, PKNPk memaklumkan, melalui projek bernilai RM2 juta itu, bangunan baharu dibangunkan bagi menggantikan struktur lama yang sudah uzur demi keselamatan serta keselesaan pelajar dan guru.
“PKNPk selaku agensi pelaksana Projek Kecil Berimpak Tinggi di bawah Projek Khas Kementerian Ekonomi (MEA) berjaya menyiapkan pembinaan baharu SAR Al Ittifaq.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan pendidikan rakyat demi kesejahteraan jangka panjang di Perak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




