am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 51, menjelaskan perkongsian foto buah zuriat (buah Adam Hawa) oleh suaminya, Ezwan Zain ketika mereka menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini hanyalah sekadar gurauan.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, berkata, perkongsian itu juga tidak membawa sebarang maksud tersembunyi termasuk perancangan untuk hamil.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk kembali hamil tetapi menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.
“Sebelum bernikah, saya dan suami sudah berbincang secara terbuka mengenai soal anak kerana faktor usia sekarang,” katanya.
Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan premis Cluck’n Cone hari ini.
Mengulas lanjut, kata Erra, dia sedia maklum suaminya memang suka bergurau dan dia sendiri tidak mengetahui itu adalah buah zuriat.
“Saya dah set dalam otak macam tak sesuai (nak hamil) tetapi kalau Allah SWT sudah berkehendak kita tak boleh menolak.
“Dari mula pun saya tak sangka akan berkahwin lagi. Sejak awal, kami ada berbincang, kalau dia nak anak (Ezwan) kena kahwin dengan orang muda,” katanya.
Pada masa sama, kata Erra, faktor usia menjadi sebab utama dia tidak meletakkan harapan untuk hamil.
“Ada rezeki ada la tapi saya tahu 80 peratus perkara itu tidak akan berlaku (hamil).
“Di usia ini, saya memang sentiasa buat pemeriksaan doktor. Rata-rata menasihati lebih baik saya tidak hamil atas faktor usia,” katanya.
Pada 2 Januari lalu, Erra membuat kejutan istimewa buat Ezwan sempena ulang tahun kelahirannya dengan menghadiahkan perjalanan menunaikan umrah bersama.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Ezwan memuat naik gambar memegang foto buah zuriat yang ditunjukkan kepada Erra, sekali gus mencetuskan spekulasi netizen bahawa pasangan itu bakal menimang cahaya mata.
Erra dan Ezwan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah premis acara di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, pada 12 Disember lalu.
Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, sebelum berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya, 16.
Sebelum itu, Erra pernah berumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.
Manakala Ezwan pula sudah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




