LATEST

Permintaan tenaga pusat data pacu projek solar RM500 juta

Permintaan tenaga pusat data pacu projek solar RM500 juta

KUALA LUMPUR: HLGY Energy Sdn Bhd (HLGY Energy) memperuntukkan pelaburan sehingga RM500 juta untuk membangunkan loji tenaga solar berkapasiti 119.7 megawatt (MW) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, Kedah, yang dijangka mula membekalkan tenaga elektrik menjelang Jun 2028.

Projek berskala besar pertama syarikat itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 240.72 megawatt jam (MWh), dengan keupayaan menjana kira-kira 224 gigawatt jam (GWh) tenaga elektrik setahun apabila beroperasi kelak.

Baca juga: Anugerah SEBA ASEAN iktiraf Mohamad Norza, 38 individu, organisasi dan jenama

Penasihat Kumpulan HLGY Energy, Levin Tan berkata, pembangunan itu menandakan langkah penting syarikat untuk mengembangkan operasi daripada pemasangan solar komersial dan perindustrian kepada pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

“Ini adalah projek penting yang menandakan penyertaan kami dalam CRESS dan kami mahu menjadi antara syarikat terawal yang menunjukkan komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem tenaga negara.

“Kami menjangkakan bekalan tenaga dapat disalurkan kepada pengguna menjelang Jun 2028,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik HLGY Energy, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara HLGY Energy dengan lima rakan kongsi.

Menurut Levin Tan, projek yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 121.4 hektar itu kini memasuki fasa pembangunan awal dengan kerja pembersihan dan penyediaan tapak sudah dimulakan, manakala kerja infrastruktur dijadualkan bermula pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, loji berkenaan turut mengintegrasikan teknologi automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan dron bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta operasi.

“Kami mahu membangunkan sebuah loji solar pintar dengan mengintegrasikan teknologi AI, automasi dan penggunaan dron bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta operasi,” katanya.

Levin Tan berkata, Bridge Data Centres Malaysia IV Sdn Bhd dikenal pasti sebagai pembeli tenaga korporat bagi projek itu, dengan bekalan elektrik dari Kedah disalurkan ke kemudahan pusat data syarikat berkenaan di Johor menerusi grid nasional di bawah mekanisme CRESS.

“Buat masa ini, Bridge Data Centres adalah pembeli tenaga bagi projek berkenaan dan keupayaan loji memenuhi keperluan sesebuah pusat data bergantung kepada kapasiti serta permintaan elektrik kemudahan terbabit.

“Permintaan tenaga daripada pusat data semakin meningkat dan tenaga boleh baharu mempunyai peranan penting dalam membantu memenuhi keperluan itu,” katanya.

Pembangunan projek itu turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku pemaju induk dan pemilik tanah di kawasan perindustrian berkenaan, manakala HLGY Energy memperoleh kemudahan pembiayaan berjangka RM360 juta daripada AmBank Islamic Bhd bagi menyokong pelaksanaannya. – UTUAN

The post Permintaan tenaga pusat data pacu projek solar RM500 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news