razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir dua bulan orang ramai menikmati lambakan luar biasa buah durian pada harga murah, musim raja buah itu kini menghampiri penghujung apabila bekalan semakin menyusut.
Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi jualan durian sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata peniaga mengakui bekalan semakin sukar diperoleh terutama membabitkan durian Musang King dan Duri Hitam.
Malah, ada peniaga yang sudah merancang menghentikan sementara operasi dalam tempoh terdekat berikutan kekurangan bekalan.
Kebanyakan varieti popular dan premium kini ditawarkan pada harga lebih tinggi berbanding ketika kemuncak lambakan, malah ada lokasi yang tidak lagi menjual durian premium kerana ketiadaan bekalan.
Antaranya varieti Musang King dan Duri Hitam dijual bermula RM25 sekilogram,Kahwin (RM18), dan Kampung (RM8).
Peniaga durian di Kampung Pandan, Mohammad Shafik Dipis, 33, berkata, penyusutan bekalan berlaku apabila musim durian kini sudah hampir berakhir.
Katanya, keadaan itu menyebabkan bekalan dari beberapa negeri pengeluar utama semakin sukar diperoleh, malah ada yang sudah habis sepenuhnya.
“Durian dari Negeri Sembilan dan Johor sudah habis, manakala durian Pahang pula hanya berbaki kira-kira lima hingga 10 peratus sahaja.
“Sekarang durian tempatan yang masih ada kebanyakannya durian kampung dari Perak dan Kelantan. Itu pun sudah hampir habis,” katanya.
Mohammad Shafik berkata, perubahan itu mula dirasai sejak dua minggu lalu dan keadaan itu turut mendorong segelintir peniaga mendapatkan durian dari Thailand bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kekurangan stok turut menyebabkan harga kebanyakan varieti kembali meningkat termasuk Musang King yang sebelum ini boleh didapati pada harga jauh lebih rendah ketika lambakan.
“Sekarang hampir semua sudah meningkat kerana stok tak ada. Musang King harganya bermula RM28 boleh mencecah RM42 sekilogram,” katanya.
Sementara itu, peniaga durian di Taman Medan, Hazlan Tampong, 43, merancang menutup sementara perniagaannya dalam tempoh terdekat selepas hampir dua bulan berniaga sepanjang musim kali ini.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan bekalan buah terutama varieti premium menyusut sejak dua minggu lalu.
“Memang sejak minggu lalu bekalan sudah berkurangan. Musang King pun hampir tiada dan sekarang lebih banyak durian kampung yang diambil dari pembekal di Sungkai, Perak.
“Mungkin dua atau tiga hari lagi saya akan tutup dan balik ke kampung sebelum kembali berniaga apabila musim seterusnya bermula,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur, sepanjang sembilan tahun terbabit dalam perniagaan durian, lambakan yang berlaku musim ini adalah paling luar biasa.
“Tahun ini memang paling dahsyat sepanjang sembilan tahun saya berniaga. Buah terlalu banyak ketika kemuncak musim.
“Saya bersyukur, walaupun berdepan cabaran mengeluarkan modal dan kos operasi tinggi, musim kali ini memberikan rezeki berganda kepada peniaga kecil seperti saya.Pada masa sama, saya juga dapat berkongsi rezeki dengan pekerja dan pelanggan lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




