POLITIK tanah air pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 beberapa hari lepas meninggalkan pelbagai iktibar yang cukup mendalam untuk diteliti.
Selepas sekian lama fenomena ini diperhatikan dan dianalisis keputusannya, akhirnya memberi ruang yang amat jernih untuk merungkai satu kekeliruan konseptual yang kerap membelenggu wacana awam, iaitu perbezaan asas antara isu kaum (race/ethnicity) dan perkauman (racism).
Satu hakikat yang wajib diakui oleh mana-mana pemerhati politik ialah landskap pemikiran rakyat Malaysia kini semakin matang. Majoriti pengundi secara konsisten menolak sebarang retorik perkauman ekstrem yang sengaja mencetuskan keresahan sosial.
Namun begitu, dalam kerangka sosiologi politik, setiap individu dilahirkan dengan identiti etnik yang tidak pernah diminta atau dipilih. Ia adalah takdir biologi dan sejarah. Keadaan ini secara semula jadi menanam rasa bangga terhadap warisan, budaya dan asal-usul kaum masing-masing.
Dari sudut definisi mudah, kaum ialah persoalan identiti, warisan dan jati diri yang terbina kukuh dalam lipatan sejarah yang panjang. Ia bersifat neutral dan inklusif dalam kerangka kepelbagaian.
Sebaliknya, perkauman ialah ideologi toksik, prasangka, sentimen kebencian serta diskriminasi berstruktur yang sengaja dimanipulasi oleh entiti tertentu untuk mengaut keuntungan politik kepartian.
Di sinilah letaknya kesilapan strategik paling kritikal buat Pakatan Harapan (PH). PH dilihat gagal membezakan antara batas identiti kaum dan fahaman perkauman, seolah-olah memasukkan kedua-dua konsep yang berbeza ini ke dalam satu bakul yang sama.
Lebih parah lagi, PH kerap mengheret sebarang wacana atau tuntutan yang berkisar tentang hak, kebudayaan, mahupun kebajikan sesuatu kaum lalu dilabel secara melulu sebagai ancaman perkauman.
Apabila wacana kebudayaan atau identiti Melayu dinafikan atau terus distigma sebagai ‘racist’, timbul jurang komunikasi yang sangat berisiko. PH secara tidak sengaja telah mewujudkan naratif bahawa berbicara mengenai jati diri bangsa sendiri adalah satu kesalahan moral. Langkah ini bukan sahaja meminggirkan sensitiviti asas pengundi majoriti malah mencetuskan persepsi defensif yang amat keras.
Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) memanfaatkan lompang strategik ini dengan terus konsisten berbicara mengenai isu-isu kaum. Naratif yang dibina oleh PN difahami oleh penyokongnya sebagai satu usaha menyuntik kesedaran sosial iaitu betapa sesuatu kaum itu akan terus ketinggalan dari sudut sosioekonomi dan politik jika mereka gagal membina kekuatan dalaman serta melakukan perubahan sikap.
PN dilihat lebih cermat dan mahir meniti di atas garisan halus yang memisahkan antara perjuangan identiti kaum dengan garis perkauman yang melampau. Sebagai contoh mudah, kita boleh menilai fenomena ucapan-ucapan lantang yang disampaikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagi PN dan penyokongnya, ucapan sedemikian bukan retorik kebencian sebaliknya merupakan pembawaan isu kaum yang wajib diungkapkan demi membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang sejarah, kedaulatan dan identiti mereka.
Namun, daripada perspektif PH, kerangka ucapan Sanusi terus diheret, diasingkan dan ditandakan sebagai doktrin perkauman yang meresahkan serta menimbulkan prasangka antara etnik. Malangnya bagi PH, percubaan melabel ini tidak lagi memberi impak yang dihasratkan malah membawa kesan ‘boomerang’ yang memakan diri sendiri.
Sokongan awam terhadap isu ucapan Sanusi menunjukkan pola perkembangan yang amat menarik apabila analisis sentimen media sosial mendapati bahawa naratif yang dibawakan dalam ucapan tersebut tidak merosot atau mencetuskan penolakan, sebaliknya mencatatkan trend penerimaan positif yang meningkat secara konsisten sejak hari pertama ia mula disampaikan
Lonjakan sentimen positif yang berterusan ini berlanjutan sehinggalah ke hari pembuangan undi, sekali gus membuktikan bahawa mesej tersebut berjaya menembusi pemikiran pengundi secara berkesan.
Berbanding persepsi awal yang cuba dicetuskan oleh sesetengah pihak, trend ini mencerminkan bagaimana majoriti rakyat tidak lagi melihat ucapan berkenaan sebagai retorik perkauman yang memecah-belahkan, sebaliknya menerima dan mencerapnya sebagai sebuah wacana kenegaraan yang mengangkat semula jati diri serta kesedaran sejarah tempatan.
Impak daripada percanggahan ‘framing’ ini amat jelas kelihatan dalam keputusan PRN ini. Orang Melayu berasa gusar dan marah kepada PH kerana mendapati diri mereka seolah-olah didiskriminasi, seakan-akan hak untuk membicarakan nasib dan identiti kaum sendiri pun disekat dan dianggap bersalah secara moral. Rasa terasing ini menterjemahkan undi protes yang cukup besar di pusat-pusat pembuangan undi.
Pada masa yang sama, sebahagian pengundi bukan Melayu turut melihat PH kini terperangkap sebagai pemanipulasi naratif perkauman. Kebanyakan rakyat tanpa mengira latar belakang etnik mula menyedari bahawa taktik menuduh pihak lawan sebagai perkauman setiap kali wacana identiti diangkat hanyalah momokan politik semata-mata.
Malah, sebahagian pengundi bukan Melayu secara terbuka mula bersetuju dengan kebenaran mesej asas yang dibawakan oleh pemimpin seperti Sanusi mengenai realiti sejarah dan landskap sosioekonomi negara.
Akhirnya, propaganda PH yang mahu mengheret PN ke dalam kancah stigma perkauman telah memakan diri. Apabila analisis objektif dibuat terhadap siapa yang sebenarnya lebih kerap memainkan emosi dan polarisasi kaum jawapan yang hadir dalam fikiran rakyat semakin memihak kepada kelemahan PH sendiri.
Kekalahan tokoh-tokoh utama termasuk di kubu kuat di mana gelombang penolakan rakyat jelas kelihatan menjadi bukti kukuh bahawa pengundi hari ini tidak lagi boleh ditakut-takutkan dengan sentimen ciptaan.
Mesej daripada PRN ini jelas bahawa rakyat Malaysia mahukan pemikiran politik yang matang, yang mampu menghormati identiti asal-usul kaum tanpa perlu mengorbankan keharmonian serta menolak sekeras-kerasnya sebarang manipulasi label perkauman yang sempit.
*** Penulis ialah Ketua Jabatan Komunikasi Strategik TSIS yang juga merupakan seorang pengamal perhubungan awam dan komunikasi strategik yang berdaftar dengan Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) dan Public Relations and Communications Association of Malaysia (PRCA Malaysia).



