Pintu masjid perlu sentiasa terbuka kepada pelancong bukan Islam – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Bagan Datuk: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya pintu masjid sentiasa dibuka kepada orang luar termasuk pelancong bukan Islam bagi membolehkan Islam dikenali secara lebih dekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cara menyambut tetamu, menjawab pertanyaan, dan berkongsi kisah masjid yang berperanan menjadi penghubung kepada sejarah, warisan serta nilai keunikan tertentu akan menentukan bagaimana pelancong khususnya bukan Muslim memahami Islam dan mengingati Malaysia apabila pulang ke negara masing-masing.

“Kadangkala, satu pertemuan yang baik mampu mengubah persepsi yang sudah terbina bertahun-tahun.

“Sebab itu saya mahu lebih banyak masjid menjadi ruang yang terbuka untuk masyarakat mengenali Islam dalam suasana penuh adab dan saling menghormati,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Terbuka Masjid Kebangsaan (NMOD) 2026 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.

Ahmad Zahid berkata, kehebatan sesebuah masjid tidak pernah diukur pada kubah yang tersergam indah atau seni bina memukau.

Sebaliknya, katanya, ia terletak pada sejauh mana ia berjaya diimarah, menyatukan masyarakat serta membentuk tamadun yang berteraskan ilmu, akhlak dan ihsan.

Beliau berkata, masjid juga boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan pelancong mengenali sejarah, budaya dan ketamadunan Islam di negara.

“Apabila mereka (pelancong) datang, biarlah yang dibawa pulang bukan hanya gambar keindahan masjid tetapi pengalaman mengenai keramahan masyarakat dan nilai Islam yang mereka temui di Malaysia.

“Sebab itulah inisiatif seperti NMOD ini mempunyai nilai yang cukup besar apabila ruang dibuka kepada masjid untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan negara.

“Sambil terus menjalankan peranannya sebagai rumah ibadah, pusat dakwah dan institusi yang mendekatkan masyarakat kepada Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid, Masjid Tuminah Hamidi di sini yang siap dibina pada 2023 sebagai wakaf buat kedua-dua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia, akan dijadikan Masjid Pelancongan yang ke-98.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top