Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, YB Steven Sim berkongsi hantaran di media sosial apabila memuat naik pertemuannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atau biasa disapa YB Duyong sewaktu lawatan kerja beliau di Melaka.
Duduk semeja tiada masalah
Sim menyatakan mereka berkesempatan hadir ke program bersama usahawan di negeri terbabit serta berpeluang untuk duduk semeja walaupun berlainan parti politik.
“Tak boleh duduk semeja?
“Dekat Melaka wajib berpantun, ini saya hadiahkan:
Cantik bunga yang muda-muda,
Buat kumbang singgah tak pergi;
Politik biar berpada-pada,
Buat baik kita “join” sekali,” tulisnya.
Sama-sama Hebatkan Perniagaan Malaysia
Dalam pada masa yang sama, ADUN Kota Melaka, Khoo Poay Tiong juga duduk semeja dengan mereka dalam program yang berlangsung semalam.
Steven turut berharap agar mereka dapat berganding bahu dalam memajukan perniagaan di Malaysia.

Ucap terima kasih kepada KUSKOP
YB Duyong juga menerusi hantaran di media sosial mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia atas inisiatif TEKUN NASIONAL berhubung proses kelulusan untuk pinjaman RM20 ribu ke bawah dalam tempoh 24 jam.
Beliau turut memberikan sedikit kritik dan saran kepada agensi terbabit serta kementerian bagi memudahkan urusan para usahawan.
Perkongsian mereka telah mendapat pelbagai respon positif daripada netizen di media sosial yang rata-rata memuji sikap profesional kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
Sebelum ini, KUSKOP menerusi agensinya, TEKUN Nasional, menyasarkan kelulusan pembiayaan mikro sehingga RM20,000 dapat diberikan dalam tempoh 24 jam menjelang penghujung tahun ini.
Perkara itu diumum Steven sewaktu melancarkan Portal TEKUN Nasional sempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka di Morten Walk.
Sumber: Facebook Steven Sim Chee Keong, Mohd Noor Helmy




