PRN Johor: Pas beri bayangan kerjasama, akui wujud pertemuan dengan UMNO

PRN Johor: Pas beri bayangan kerjasama, akui wujud pertemuan dengan UMNO

MARANG – Pas memberikan bayangan sedia menguji formula penjajaran politik yang lebih luas termasuk kesediaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, konsep utama parti itu kekal untuk menyatukan orang Melayu-Islam bagi memimpin negara, tanpa mengetepikan masyarakat majmuk bukan Islam.

​Malah, beliau turut mengesahkan wujudnya pertemuan antara pimpinan parti itu dengan UMNO malam tadi, namun menyifatkannya sebagai satu perjumpaan biasa.

​”Pertemuan biasa, kita jumpa dia pun berlaku, orang nak jumpa kita, kita jumpa. Saya tidak terlibat, tetapi saya dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas kuliah duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

​Mengulas mengenai persiapan PRN Johor, Abdul Hadi menjelaskan bahawa keputusan muktamad mengenai strategi pilihan raya, status pembahagian kerusi, dan penggunaan logo hanya akan diputuskan selepas taklimat khas pimpinan Pas Johor pada Isnin ini.

​Menurutnya, pimpinan pusat akan meneliti taklimat tersebut secara terperinci satu persatu sebelum sebarang ketetapan dibuat.

​”Kita sedang mengkaji. Insya-ALLAH hari Isnin ini kita akan dengar taklimat daripada Pas Negeri Johor. Satu persatu kita dengar taklimat dulu, lepas itu akan dibuat keputusanlah bagaimana kita nak.

​”Kita akan bertanding, pada dasarnya akan bertanding tetapi akan dilihat dari segi pengaruh kita, dari segi peluang kita untuk berkempen dan calon-calon. Alhamdulillah kita ramai tokoh-tokoh yang jadi calon dalam Pas hari ini,” jelas beliau.

​Ditanya sama ada pembahagian kerusi bagi negeri Johor sudah dimuktamadkan sepenuhnya, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.

​”Belum muktamad lagi. Itu pandangan sahaja, belum muktamad lagi,” katanya.

Tambah beliau, Pas juga akan mengambil pendekatan realistik dan tidak semestinya bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor demi melihat kewajaran serta peluang kemenangan.

​”Tidak semestinya (bertanding semua). Kita akan lihat kewajaran. Tapi kita akan bertanding mungkin atas (tiket) komponen (Perikatan Nasional) itu akan dikaji lagi, mana yang lebih baik kita bertanding. Lihat pada pengaruh kita,” katanya.

​Dalam pada itu, Abdul Hadi memaklumkan pertimbangan Pas bukan sahaja tertumpu kepada parti politik, malah terbuka untuk melibatkan pengaruh pihak lain demi menjayakan agenda penyatuan.

​”Antaranya ialah kita mengaduk (melibatkan) bukan sahaja parti-parti Melayu-Islam, termasuklah NGO-NGO Islam, termasuk kalangan-kalangan berpengaruh dalam masyarakat Islam. Kita ambil kira semua.

​”Ia (penyertaan parti lain) akan dilihat kepada kesesuaian dan pengaruh. Kita kena sedar bahawa di sana ada kawasan yang kita menang benda yang tercipis (tipis), beza dua undi pun ada berlaku. Kita akan ambil kiralah tokoh-tokoh yang berpengaruh,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Jelas beliau, sudah tiba masanya Muafakat Nasional 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Beliau berkata, pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan Bumiputera.

Malah katanya, perkembangan itu turut berupaya membentuk kekuatan politik Bumiputera yang lebih kukuh dan menyeluruh, bukan sahaja di Semenanjung, malah merangkumi Sabah dan Sarawak.

 

Mesti Baca

Scroll to Top