JOHOR BAHRU – Spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya kerjasama antara PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebelum pengumuman calon BN Johor hanya sekadar khabar angin.
Ia selepas Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hanya mengumumkan nama calon dari UMNO, MCA dan MIC yang akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Sebelum ini, desas-desus timbul mengenai kemungkinan kerjasama politik melibatkan BN, PAS dan Wawasan bagi menghadapi PRN Johor kali ini.
Malah tular dakwaan empat kerusi diberikan kepada Wawasan manakala satu kerusi diberikan kepada PAS, dengan setiap parti perlu menggunakan logo BN.
Selain itu, pengumuman yang dibuat di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor turut menafikan dakwaan bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim bakal dibawa masuk sebagai calon khas BN sebelum ini.



