JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di semua kawasan sama ada pada pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum (PRU).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya pertembungan dipilih, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.
“Kita tengah dikejutkan dengan keputusan BN-UMNO yang mahu bertanding di semua kawasan (DUN) di Johor. Saya tidak terkejut kerana kita dah pantau. Itu keputusan mereka.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) hadir pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. Foto Bernama
“Sementara ini, kepimpinan pusat masih baik dan harmoni. Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas bahawa PH akan bertanding di semua kawasan.
ARTIKEL BERKAITAN: PH akan ‘kuburkan’ BN kali kedua di Johor – Aminolhuda
ARTIKEL BERKAITAN: PH Johor umum tanding semua 56 kerusi DUN
“Di Negeri Sembilan, kita bertanding semua. Selangor, Pulau Pinang, Pahang, kita bertanding semua. Tetapi, saya sebut ini kalau mereka yang mula melanggar, kita tegas. Kalau runding baik, kita orang baik, sabar serta bijak. Kita mahu selamatkan negara ini sebab kita amalkan politik stabil.
“Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Ahad.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) selepas menyampaikan kit jentera Pilihan Raya kepada Negeri Johor pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. Foto Bernama
Bagaimanapun, beliau menjelaskan masih ada ruang perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau beginilah cara kita diperkotak-katikkan dalam hubungan ini, mungkin PRU seluruh negara diadakan.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. Foto Bernama.
“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama. Harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: BN Johor bertanding solo bukan kerana sombong – Puad Zarkashi
Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.



