BEKAS penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali mengakui masih ramai bakat muda dalam sukan bola sepak di peringkat akar umbi yang belum dicungkil terutama di kawasan pedalaman.
Menurut Safee, beliau mempunyai impian besar untuk terus mencari bakat-bakat baharu sekali gus menyediakan mereka untuk mewarnai pasukan kebangsaan nanti.
“Saya rasa impian saya adalah melahirkan ramai bakat muda di peringkat akar umbi yang sebenarnya masih ramai belum tersentuh, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Jika ada kolaborasi dan kerjasama daripada syarikat korporat yang boleh membantu saya mencapai sasaran ini, saya rasa ia sangat-sangat membantu,” katanya selepas pelancaran kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup pada Jumaat.
Kejohanan kali ini dijangka menghimpunkan kira-kira 900 pemain muda, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding 500 peserta pada edisi sebelumnya.
Lebih menarik, edisi tahun ini turut menyaksikan penyertaan pasukan dari luar Lembah Klang iaitu Pulau Pinang dan Pahang sekali gus membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MommyHana, Mohd Farid Mohamed Sangido berkata, kejohanan tersebut tidak hanya berorientasikan pertandingan malah menjadi platform untuk membentuk sahsiah diri peserta.
“Kejohanan ini bukan hanya mengenai bola sepak, malah kita menitikberatkan pembentukan keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan dan nilai-nilai positif dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
“Kami percaya setiap kanak-kanak mempunyai potensi jika diberikan sokongan dan persekitaran yang tepat. Melalui kerjasama dengan Coach Safee Sali, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menjadi individu yang yakin, aktif dan berdisiplin sama ada di dalam mahupun di luar padang,” ujarnya.
Tambah Mohd Farid, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan ibu bapa di Malaysia kini semakin cakna dan memberi sokongan padu terhadap aktiviti yang menyihatkan buat anak-anak mereka.
MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Mei di Stadium MPAJ.
Kejohanan ini akan mempertandingkan empat kategori iaitu Bawah 8 Tahun, Bawah 10 Tahun, Bawah 12 Tahun dan Bawah 14 Tahun.



