
Pendedahan bantu penunggang memahami had kemampuan diri dan motosikal serta menggalakkan amalan tunggangan lebih berhemah di jalan raya.
RCB mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan platform pembelajaran dan latihan menerusi program RCB Track Day bagi memupuk budaya tunggangan yang lebih selamat, berdisiplin dan profesional ketika isu keselamatan penunggang motosikal terus menjadi perhatian.
Program di Horizon Beranang Circuit Beranang itu menghimpunkan 80 peserta berusia antara sembilan hingga 40 tahun, sekali gus memberi peluang kepada mereka meningkatkan kemahiran tunggangan dalam persekitaran yang terkawal dan selamat.
Antara pengisian utama ialah sesi bimbingan asas tunggangan litar yang dikendalikan bekas pelumba negara, Ibrahim Norrodin menyaksikan peserta didedahkan teknik pengendalian motosikal yang betul, kawalan jentera serta aspek keselamatan yang penting ketika menunggang.

Sebahagian peserta yang menyertai RCB Track Day di Horizon Beranang Circuit Beranang itu.
Pendedahan sedemikian dilihat mampu membantu penunggang memahami had kemampuan diri dan motosikal, selain menggalakkan amalan tunggangan lebih berhemah apabila berada di jalan raya.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran dua pelumba profesional negara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Nazirul Izzat Md Bahauddin yang berkongsi pengalaman serta perjalanan karier mereka dalam arena perlumbaan profesional.
Kedua-dua pelumba berkenaan turut berkongsi persiapan menjelang penyertaan mereka dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Jepun hujung minggu depan.

Peserta didedahkan teknik pengendalian motosikal yang betul, kawalan jentera serta aspek keselamatan ketika menunggang.
Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong berkata, penganjuran RCB Track Day merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat untuk memperkasakan komuniti motosikal tempatan, khususnya dalam aspek keselamatan dan pembangunan kemahiran.
“RCB Track Day diwujudkan sebagai platform untuk komuniti penunggang meningkatkan kemahiran mereka di litar dalam persekitaran yang selamat, terkawal dan profesional.
“Kami percaya pendedahan seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran tunggangan, malah membentuk sikap lebih bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan ketika menunggang,” katanya.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan komuniti motosikal sentiasa dahagakan program yang memberi nilai tambah kepada kemahiran serta pembangunan diri.
Malah, maklum balas peserta menunjukkan ramai berharap program itu dapat diperluaskan menerusi penganjuran beberapa siri setiap tahun bagi memberi lebih banyak peluang kepada penunggang menimba ilmu dan pengalaman di litar.



