SHAH ALAM – Kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan hari ini mencetuskan pelbagai tafsiran politik, termasuk kemungkinan wujudnya jajaran baharu antara Pas dan platform politik yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, perasmian itu juga memberi petanda jelas bahawa Pas bersedia bekerjasama dengan Hamzah.”Pada pandangan saya, perasmian Reset hari ini oleh Presiden Pas memberi satu petanda jelas yang Pas sedia bekerjasama dengan Hamzah untuk bergabung dengan pakatan atau jajaran parti politik tidak lama lagi.”Ia diperkuatkan dengan hubungan baik Abdul Hadi dengan Hamzah sejak mereka berada dalam PN lagi,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan Pas tidak lagi mahu dilihat sekadar mengikut rentak parti lain, sebaliknya mahu memperkasa aspirasi politik sendiri bagi memperoleh keyakinan lebih kukuh dalam kalangan pengundi.”Saya melihat jajaran hubungan politik baharu yang bakal dimeterai mereka jelas menunjukkan bahawa Pas tidak mahu lagi bersikap ‘mengikut telunjuk’ sebaliknya mahu memperkasa dan melaksanakan aspirasi politik yang lebih mampan untuk memperoleh keyakinan utuh dalam kalangan pengundi.”Ini jelas menunjukkan jalinan kerjasama yang bakal dimeterai itu akan memberi impak positif terhadap keyakinan pengundi memilih jajaran parti politik ini terutamanya memenuhi hasrat dan harapan para pengundi di Pantai Barat Semenanjung,” ujarnya lagi.Bagaimanapun, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, melihat perkembangan itu dari sudut yang lebih berhati-hati dengan menyifatkan kehadiran Abdul Hadi sebagai satu isyarat politik yang masih memerlukan penelitian lanjut.Katanya, tindakan itu boleh dibaca dalam dua lapis tafsiran, iaitu yang tersurat dan tersirat, namun terlalu awal untuk dianggap sebagai restu rasmi Pas kepada Hamzah.”Dalam politik Malaysia, simbolisme kehadiran presiden parti besar membawa mesej bahawa Pas bersedia mendengar dan berinteraksi dengan aktor politik baharu.”Dari sudut tersirat, ia boleh dilihat sebagai isyarat politik strategik Pas pasca perpisahan dengan Bersatu, iaitu memperlihatkan Pas masih mempunyai keupayaan membina rangkaian politik di luar kerangka lama PN serta kekal relevan sebagai pemain utama blok pembangkang Melayu-Muslim,” ujarnya.Menurut Mujibu, walaupun kehadiran Abdul Hadi berpotensi menimbulkan persepsi mengenai kewujudan ‘restu politik’, ia tidak semestinya membawa maksud komitmen organisasi atau kerjasama pilihan raya.Katanya, petunjuk sebenar hanya dapat dibaca menerusi kandungan ucapan Abdul Hadi semasa konvensyen itu.”Apa yang lebih penting ialah mesej ucapan Abdul Hadi hari ini, sama ada menyentuh soal kesatuan pembangkang, penjajaran politik baharu atau legitimasi kepada tokoh tertentu.”Di situlah petunjuk sebenar boleh dibaca,” ujarnya.Beliau turut menyifatkan kehadiran Abdul Hadi lebih tepat dilihat sebagai proses signal testing selepas terputusnya hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding bukti muktamad bahawa Pas sudah memberi restu rasmi kepada Hamzah.



