Anthony ajak Onn Hafiz naik KTM Komuter Selatan minggu depan

Anthony ajak Onn Hafiz naik KTM Komuter Selatan minggu depan
Anthony ajak Onn Hafiz naik KTM Komuter Selatan minggu depan

Anthony ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan pada Jumaat.

SEREMBAN – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengundang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menaiki KTM Komuter Selatan bersamanya sempena pelancaran perkhidmatan itu pada Selasa depan.

Beliau yang merupakan Setiausaha Agung DAP berkata, pihaknya tidak pernah memusuhi sesiapa dan sentiasa mengamalkan pendekatan pragmatik serta terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai parti politik.

“Kalau ada orang yang kata tidak mahu duduk dengan DAP, tidak mengapa. Kita tidak paksa. Tetapi saya mahu ingatkan bahawa DAP masih berada dalam kerajaan Persekutuan dan saya masih Menteri Pengangkutan.

“Saya nak maklumkan kepada Datuk Onn Hafiz bahawa pada Selasa depan saya akan ke Johor Bahru bagi menghadiri pelancaran KTM Komuter Selatan.

“Saya ingin menjemput beliau untuk duduk bersama saya dalam KTM Komuter Selatan dari Kulai ke Johor Bahru. Walaupun beliau kata tidak mahu duduk dengan DAP, tidak mengapa. Saya tetap menjemput beliau duduk di sebelah saya dalam kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di sini, pada Jumaat.

Menurutnya lagi, DAP mempunyai pengalaman bekerjasama dengan pelbagai parti termasuk Pas demi kepentingan rakyat dan negara.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata, beliau lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada duduk semeja dengan DAP.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, pendirian berkenaan selaras dengan landskap politik negeri yang berbeza berbanding situasi di peringkat Persekutuan, selain menegaskan gabungan berkenaan tidak pernah mentadbir Johor bersama DAP.

Dalam pada itu, Anthony berpandangan bahawa sikap terbuka dan kesabaran perlu menjadi pegangan setiap pemimpin politik dalam mendepani perbezaan pandangan serta landskap politik semasa.

“Inilah sikap kita, inilah semangat kita. Jadi orang politik, tahap kesabaran kita mesti tinggi kerana kesabaran itulah yang akan membawa kemenangan dan kejayaan kepada kita.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabar lebih 20 tahun baru jadi Perdana Menteri,” katanya.

Scroll to Top