Sanusi yakin sapu bersih 36-0 kerusi DUN, 15-0 kerusi Parlimen di Kedah

Sanusi yakin sapu bersih 36-0 kerusi DUN, 15-0 kerusi Parlimen di Kedah

ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang sekali gus terus memperkukuh penguasaan di negeri ini.

Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, keyakinan tersebut disandarkan kepada kekuatan sokongan rakyat serta kesiapsiagaan jentera parti yang sentiasa bersedia berdepan PRU16 pada bila-bila masa.

“Sekarang ini 33 kerusi yang kita ada, sama ada bersama mereka atau tidak…kita lawan semua dan menang semua kerusi.

“DAP di Kedah akan lenyap sama sekali (DUN Kota Darul Aman), PKR sedang berpecah, berebut kuasa, mabuk kerusi, (DUN) Sidam dan Bakar Arang kita akan rampas…Kita akan pastikan bahawa perjalanan pemimpin bawah Pas aman damai harmoni,” katanya semasa hadir ke Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Kompleks Pas di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau juga optimis merampas kerusi Parlimen Sungai Petani dari (PKR-PH) dimenangi Mohammed Taufiq Johari yang kini merupakan Menteri Belia dan Sukan.

“Menteri di Sungai Petani… Dia pun kita akan kalahkan, kita nak beri tahu muda-muda silap masuk politik…waris dari pak kerusi tu… 2,3 beradik bertanding pilihan raya, guna pengaruh pak,” dakwa beliau.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi mendakwa, terdapat ura-ura mengatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail besar kemungkinan bakal bertanding di salah satu kerusi DUN negeri tersebut.

“Kita alu-alukan Saifuddin ke Kulim, Padang Serai…kami akan pastikan (beliau) kalah,” katanya.

Dalam PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) di Kedah menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN dengan Pas memperolehi 21 kerusi, Bersatu 11 dan Gerakan 1.

Tiga lagi kerusi DUN di Kedah dimenangi Pakatan Harapan (PH) iaitu DUN Sidam milik Bau Wong Bau Ek (PKR), DUN Bakar Arang dimenangi Adam Loh Wei Chai (PKR) dan DUN Kota Darul Aman dimenangi Teh Swee Leong (DAP).

Sementara itu, bagi kerusi Parlimen, PN Kedah menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen (Pas 8, Bersatu 6) kecuali Sungai Petani milik Mohammed Taufiq.

Muhammad Sanusi turut mencadangkan agar PRN dan PRU16 dijalankan serentak di mana tempoh matang dijangka berakhir sekitar Ogos 2028 dan November 2027.

Scroll to Top