Barcelona: Kelab Barcelona mencapai persetujuan dengan Manchester City untuk mendapatkan kapten Sepanyol, Rodri dengan nilai perpindahan sekitar 75 juta euro (RM365 juta), menurut sumber kelab Catalan itu kepada AFP, semalam.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu dijangka melengkapkan perpindahan ke Camp Nou dalam beberapa hari akan datang, dengan pengumuman rasmi akan dibuat selepas semua urusan diselesaikan.
“Dalam beberapa hari akan datang akan ada kenyataan dan perpindahan ini akan menjadi rasmi,” kata sumber Barcelona berkenaan.
Rodri sebelum ini dikaitkan dengan Real Madrid selepas membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia pada Julai lalu, namun Barcelona akhirnya berjaya memujuk bekas pemain Atletico Madrid itu untuk menyertai mereka.
Pemain tengah itu menjadi antara tonggak utama kejayaan Manchester City sejak menyertai kelab berkenaan pada 2019, termasuk membantu mereka menjuarai Liga Juara-Juara 2023 dan empat gelaran Liga Perdana Inggeris.
Rodri yang memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2024 bagaimanapun bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang dua musim lalu, sebelum kembali menyerlah ketika membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia.
Kehadiran Rodri dilihat semakin penting buat Barcelona selepas pemain tengah Belanda, Frenkie de Jong dijangka terpaksa berehat beberapa bulan akibat kecederaan.
Barcelona sebelum ini sudah mengemukakan dua tawaran untuk mendapatkan Rodri yang ditolak City, namun kedua-dua kelab akhirnya mencapai persetujuan semalam.
Rodri bakal menjadi antara beberapa pemain baharu yang menyertai Barcelona pada musim panas ini selepas Anthony Gordon, Karim Adeyemi dan Jesse Bisiwu.
Sebagai kapten Sepanyol, Rodri memainkan peranan penting dalam kejayaan City di bawah kendalian Pep Guardiola apabila membantu kelab itu meraih 12 trofi utama termasuk Liga Juara-Juara 2023 dan empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Barcelona juga dijangka melengkapkan perpindahan Joao Cancelo dalam beberapa hari akan datang selepas pemain Portugal itu dipinjamkan ke kelab Catalan berkenaan dari Al Hilal musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

