Rupa-rupanya ada 9 rekod jenayah lampau…

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki yang didakwa terbabit dengan kes pemerasan serta halangan terhadap seorang pengguna jalan raya di Taman Universiti, Skudai, di sini, direman empat hari sehingga 8 September ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bukan itu saja malah lelaki terbabit yang berusia 38 tahun turut memiliki sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kini, polis sedang memburu seorang lagi lelaki yang turut terbabit dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, terdahulu, pada jam 12.49 kelmarin, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 30 tahun berkaitan kejadian menimpanya.

“Pengadu melaporkan, pada jam 11.30 pagi, kenderaannya diekori seorang lelaki bermotosikal di kawasan Taman Universiti.

“Suspek didakwa mengarahkan pengadu berhenti kerana mendakwa motosikalnya dilanggar selain meminta bayaran ganti rugi,” katanya, pada kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, berlaku pertengkaran sebelum seorang lagi lelaki bermotosikal tiba di lokasi.

“Pengadu kemudian membunyikan hon kenderaannya menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri.

“Hasil maklumat, kami menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di kawasan Taman Universiti selain merampas beberapa barangan daripadanya untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan selain Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana melakukan halangan salah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 atau balai polis berhampiran.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 3 minit 16 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘community roda johor’ yang memaparkan kejadian membabitkan unsur pemerasan dan halangan salah melalui pautan https://www.facebook.com/share/v/1kcpfmak6m/?mibextid=wwxlfr.

Video papan pemuka di kereta wanita berkenaan memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sebelum kedua-dua kenderaan berhenti di tepi jalan.

Kedengaran lelaki terbabit menuduh mangsa melanggar motosikalnya namun dinafikan wanita berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top