SHAH ALAM – S P Setia Bhd (Setia) memperkukuh kedudukannya dalam segmen hartanah mampu milik menerusi pembangunan siri kediaman teres dua tingkat baharu, Erica di Sepang, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM93.6 juta.
Erica merangkumi 162 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 20’ x 60’, dengan keluasan binaan antara 1,405 kaki persegi hingga 1,445 kaki persegi, pada harga bermula RM559,000.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata, pembangunan di atas tanah seluas 11.34 ekar itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperluas penawaran kediaman dalam perbandaran yang mempunyai elemen keterhubungan dan kemudahan gaya hidup, khususnya di koridor pertumbuhan selatan Lembah Klang.
Menurutnya, pembangunan di Setia Warisan Tropika berkenaan juga dirangka bagi memenuhi permintaan terhadap kediaman yang lebih praktikal dan mampu dimiliki, selari dengan keperluan isi rumah yang semakin berkembang.
“Sebagai peneraju dalam membangunkan komuniti mampan dan memperkaya gaya hidup, Setia mereka bentuk serta menyediakan rumah mampu milik dalam perbandaran yang mempunyai elemen gaya hidup dan keterhubungan yang kukuh bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang.
“Erica merupakan siri terbaharu rumah permulaan mampu milik kami yang direka untuk kepraktisan, keselesaan dan fungsi seimbang.
“Dengan geran individu, pemilik rumah mempunyai fleksibiliti untuk melakukan pengubahsuaian atau pembesaran, sekali gus memberi sentuhan peribadi kepada kediaman Setia mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Erica yang terletak bersebelahan bandar peranginan Setia Warisan Tropika milik Setia mempunyai jaringan jalan raya yang baik ke Cyberjaya dan Putrajaya melalui laluan seperti Jalan Putrajaya-Dengkil, Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Utara-Selatan.
Stesen ERL Salak Tinggi juga terletak dalam jarak berjalan kaki, membolehkan penduduk menikmati akses pantas dan terus ke KLIA serta pusat bandar Kuala Lumpur.
Pembangunan tersebut juga sesuai untuk keluarga muda dan sedang berkembang, selain berhampiran hab pendidikan seperti Universiti Xiamen, Universiti Nilai, Kolej Antarabangsa INTI dan UiTM Dengkil.
Antara kawasan komersial berhampiran termasuk DPULZE Shopping Centre di Cyberjaya, Horizon Village Outlets serta Mitsui Outlet Park di Sepang.
Pembeli juga berpeluang menikmati ganjaran tambahan menerusi kempen jualan khas Raya peringkat kumpulan yang berlangsung dari 16 Mac hingga 30 April, tertakluk kepada terma dan syarat.
Rezeki Bonanza menawarkan ganjaran RM4,000 bagi setiap unit kepada pembeli yang membuat tempahan rumah Setia sepanjang tempoh kempen dan menandatangani Perjanjian Jual Beli dalam tempoh 30 hari.
Sementara itu, program ‘Kawan Bawa Kawan’ turut memberi ganjaran RM3,000 bagi setiap unit kepada Citizen Setia, iaitu pemilik rumah Setia sedia ada, untuk setiap rujukan yang berjaya.



