Sejarah baru! PAS sertai kerajaan N.9 buat pertama kali sejak merdeka

Sejarah baru! PAS sertai kerajaan N.9 buat pertama kali sejak merdeka

PAS mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kali menyertai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan selepas gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan hasil kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Satu amanah besar buat PAS

Memetik laporan daripada Harian Metro, sebelum ini, PAS sentiasa berada di blok pembangkang sejak negara mencapai kemerdekaan berikutan jumlah kerusi yang dimenangi parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa menyatakan, pihaknya merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat dan pengundi yang memberikan sokongan kepada PAS serta PN dalam pilihan raya tersebut.

“Keputusan rakyat memberikan kemenangan kepada PAS di DUN Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Ampangan adalah satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, berintegriti dan istiqamah.
“PAS Negeri Sembilan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti termasuk sokongan utama daripada negeri-negeri yang membantu, petugas pilihan raya, sukarelawan, penyokong serta semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang kempen sehingga ke hari pengundian,” katanya.

Beriltizam bela kebajikan rakyat

Menurut beliau, komitmen dan pengorbanan seluruh jentera menjadi tunjang utama kepada kejayaan yang diraih pada PRN kali ini.

Beliau menambah, PAS Negeri Sembilan kini beriltizam memainkan peranan sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri bersama BN, selain terus membela kebajikan rakyat serta membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan petunjuk kepada PAS Negeri Sembilan dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)

Scroll to Top