Serangan Israel paling ganas ke atas Lubnan

Serangan Israel paling ganas ke atas Lubnan

BEIRUT – Israel melancarkan serangan paling ganas ke atas Lubnan sejak konflik dengan Hizbullah kembali memuncak pada awal bulan lalu, berkemungkinan sebagai tindak balas susulan kekalahan memalukan dialami sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) dalam perang menentang Iran.

Kempen pencerobohan itu menyebabkan proksi Teheran itu terpaksa melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv pada awal pagi Khamis sebagai respons tegas terhadap perlanggaran perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai Iran-AS.

Hujan bom bertalu-talu sehari sebelum itu menggegar ibu kota dan menghasilkan kepulan asap tebal setelah Zionis melancarkan operasi berskala besar tersebut dengan alasan menyasarkan markas pejuang Hizbullah.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan dahsyat mengejut itu meragut lebih 250 nyawa dan kira-kira 1,100 mangsa cedera.

Pasukan bomba berusaha mengawal api di kawasan yang dibedil Israel. Foto Agensi

Pasukan bomba berusaha mengawal api di kawasan yang dibedil Israel. Foto Agensi

Ketika banyak pihak mempersoalkan pelanggaran dilakukan Israel, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan perjanjian gencatan senjata yang menamatkan kempen pengeboman selama enam minggu ke atas Iran tidak terpakai kepada Beirut.

“Operasi di Lubnan akan diteruskan,” kata jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Avichay Adraee ketika mengeyakan pengumuman dibuat Netanyahu.

Pendirian Tel Aviv bagaimanapun bercanggah dengan komen Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang menjadi perantara utama proses damai Iran-AS.

“Tempoh bertenang itu akan turut merangkumi Beirut,” ujarnya.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di ibu kota akibat hujan bom bertalu-talu tersebut. Foto Agensi

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di ibu kota akibat hujan bom bertalu-talu tersebut. Foto Agensi

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di ibu kota akibat hujan bom bertalu-talu tersebut. Foto Agensi

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di ibu kota akibat hujan bom bertalu-talu tersebut. Foto Agensi

‘Kami tidak mampu bertahan lagi’

Bedilan bertalu-talu itu secara terang-terangan menyasarkan kawasan komersial yang sesak dan lima kawasan kejiranan hingga menyebabkan ramai orang awam bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Kempen pencerobohan Zionis sejak 2 Mac lalu telah mengorbankan lebih 1,530 orang dan mengakibatkan kira-kira 1.2 juta penduduk hilang tempat tinggal.

Arahan pemindahan paksa turut dikeluarkan di kawasan meliputi kira-kira 15 peratus daripada wilayah Lubnan terutamanya di kawasan selatan dan pinggir selatan Beirut yang diisytiharkan sebagai ‘zon larangan’.

“Saya berharap gencatan senjata akan segera dicapai. Kami tidak mampu bertahan lagi,” menurut Ahmed Harm, 54, yang terpaksa meninggalkan kediamannya di pinggir selatan ibu kota.

Di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara, beberapa keluarga sudah bersiap sedia untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Kami hanya menunggu arahan rasmi daripada pihak berkuasa,” kata Samar al-Shaibany dengan penuh harapan.

Sementara itu, Presiden Joseph Aoun menegaskan beliau akan meneruskan usaha untuk memastikan Lubnan turut dimasukkan dalam sebarang perjanjian damai serantau bersifat kekal yang dicapai AS-Iran. – Agensi

Scroll to Top