‘Sibuk suruh orang lain bermusyawarah, diri sendiri jalan mengiring’ – Dr Mohd Yadzil

‘Sibuk suruh orang lain bermusyawarah, diri sendiri jalan mengiring’ – Dr Mohd Yadzil

SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub membidas tindakan biro politik parti yang didakwa sibuk mengajar pihak lain mengenai konsep musyawarah sedangkan kepimpinan sendiri dikatakan pernah membuat keputusan tanpa rundingan menyeluruh.

Beliau menggambarkan kenyataan Biro Politik Bersatu sebagai cakap tidak serupa bikin dan amalan musyawarah adalah mengikut selera sendiri apabila sibuk mengajar pihak lain mengenainya, tetapi dalam masa sama tidak mengamalkannya sendiri apabila membuat keputusan.

Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban mendakwa, beberapa keputusan penting melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dibuat tanpa musyawarah

“Musyawarah hanya wujud bila Bersatu untung, tapi ghaib bila Bersatu rugi. Bak kata pepatah, tak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

“Sibuk suruh orang lain bermusyawarah, diri sendiri jalan mengiring,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad lepas, Sinar Harian melaporkan Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan dilemparkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung beberapa isu.

Ia termasuklah pertukaran Menteri Besar Perlis, krisis politik Negeri Sembilan serta dakwaan kelemahan jentera pilihan raya Bersatu yang dikatakan menjadi asas Pas mengkaji semula hubungan dengan parti itu.

Biro Politik Bersatu memaklumkan, semua isu berbangkit sepatutnya diselesaikan secara musyawarah dan bukannya diperdebat secara terbuka kerana boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap parti dan gabungan tersebut.

Mohd Yadzil turut mempersoalkan sejak bila Muhyiddin benar-benar mengamalkan konsep musyawarah dalam membuat keputusan parti dan gabungan politik.

Menurut beliau, pelantikan Jawatankuasa Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) didakwa dibuat tanpa musyawarah.

Selain itu, katanya, tindakan mengangkat nama sendiri sebagai ‘poster boy’ Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang menurutnya dilakukan tanpa rundingan jelas.

Beliau turut mendakwa dalam isu pelantikan Menteri Besar Perlis, nama calon dihantar terus tanpa melalui Majlis Pimpinan Tertinggi PN.

“Paling melucukan alasan yang diberi adalah kerana menjunjung titah Raja Perlis tapi bila titah Yang di-Pertuan Agong untuk bentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, sampai sekarang disangkal.

“Itu pun dibuat tanpa musyawarah!” kongsinya.

Scroll to Top